Retromotif: Subaru Impreza STI Electra One Concept – dijelmakan hampir keseluruhan untuk versi produksi

Retromotif: Subaru Impreza STI Electra One Concept – dijelmakan hampir keseluruhan untuk versi produksi

Agresif, liar, melebih-lebih, tidak masuk akal – ini semua antara ciri-ciri yang biasa ditampilkan untuk sebuah kereta konsep, dan akhirnya rekaan tersebut akan dirasionalkan apabila versi produksi sebenarnya diperkenalkan. Namun, ada tak kereta konsep yang dijelmakan ke bentuk produksi dengan rupa yang hampir sama dari asal? Ya, memang ada – antaranya Subaru Impreza STI Electra One Concept yang diperkenalkan 18 tahun lalu ini.

Muncul buat pertama kali pada Tokyo Motor Show (TMS) 1999 dan kemudian dipamerkan kembali pada Tokyo Auto Salon (TAS) 2000, Electra One Concept dibina berasaskan model Impreza GC8 WRX STI Version VI dan merupakan model konsep yang menayangkan barisan aksesori-aksesori asli dari STI.

Yang paling menonjol tentulah penampilan luarannya yang begitu agresif dan tidak masuk akal untuk produksi. Ia dipadankan dengan bampar hadapan yang lebih besar dari standard, gril yang lebih dalam, skup udara bonet hadapan lebih besar, diberikan skup kemasukan udara bumbung, cermin sisi ala-Impreza WRC serta skirt sisi jauh lebih labuh.

Cukup ekstrem? Anda akan lebih terkejut melihat bahagian belakang. Bampar belakang yang lebih besar diberikan pada kereta ini turut diberikan liang-liang udara yang begitu agresif (rekaan seperti diffuser masih lagi belum menjadi trend ketika era ini), dan ia juga menempatkan muffler besar dengan tip berbentuk empat segi. Begitu juga dengan spoiler – ia bukan sahaja bersaiz gergasi, malah turut mempunyai dua tingkat sayap yang begitu menonjol.

Akhir sekali, badan kereta ini diberikan warna Artic Silver Metallic dan dipadankan dengan rim-rim forged lima-jejari berwarna emas dengan diameter 17-inci binaan khas oleh Rays Engineering dan STI sendiri. Model konsep ini juga diberikan pelbagai peralatan suspensi berpretasi tinggi dari STI, namun ia masih mengekalkan enjin asal EJ20 dari WRX STI Version VI yang menghasilkan 280 PS/353 Nm.

Apa yang mengejutkan, tidak sampai tiga bulan setelah kemunculannya di TAS 2000, Subaru melancarkan kereta konsep ini sebagai model produksi edisi terhad (hanya dibina 300 unit) digelar sebagai Subaru Impreza WRX STI S201. Ia tampil dengan bentuk yang hampir keseluruhannya dari Electra One kecuali pada lampu hadapan (menggunakan lampu standard GC8 berbanding dengan lampu bulat berkembar pada model konsep), rim forged 17-inci Rays-STI enam-jejari dan juga spoiler belakang yang sedikit berbeza.

Model produksi sebenar Subaru Impreza WRX STI S201

Bercakap mengenai spoiler belakang, model produksi S201 ini menggunakan spoiler STI ‘double wing’ yang telah pun dipadankan pada model Impreza WRX STI Version VI Limited – diperkenalkan tidak lama sebelum model edisi terhad ini. Walaupun kelihatan agak janggal, spoiler ini berkenaan sebenarnya benar-benar berfungsi dan dihasilkan oleh Fuji Heavy Industri (FHI) Aerospace Division iaitu syarikat yang bernaung di bawah FHI sama dengan Subaru dan membina pelbagai komponen sayap untuk pesawat-pesawat keluaran Boeing.

Lebih mengujakan, enjin EJ20 2.0 liter boxer turbo pada S201 ini turut mendapat sentuhan semula dari STI. Liang pada injap ekzos telah dibesarkan, boost turbo ditingkatkan, unit intercooler ditukar kepada unit yang lebih besar serta pengurusan enjin diatur semula dengan ECU sports dari STI – hasilnya enjin tersebut mampu mengekstrak 304.3 PS tetapi tork masih kekal pada 353 Nm.

S201 menjadi perintis kepada model-model edisi-terhad-lebih-berkuasa siri WRX STI S20x selepas itu iaitu S202, S203, S204, S206, S207 dan terakhir S208 yang baharu sahaja diperkenalkan pada Tokyo Motor Show 2017 bulan lalu. Bukan itu sahaja, S201 juga menjadi penutup kepada casis GC8 yang telah digunakan Subaru bermula Impreza WRX versi pertama bermula tahun 1992, apabila model Impreza ‘New Age’ a.k.a ‘Bug Eyed Impreza’ (dengan kod casis GDA/GDB) diperkenalkan pada Ogos 2000.

Walaupun casis GC8 ditamatkan produksinya, namun enjin EJ20 – enjin yang pernah membawa mendiang Colin McRae, mendiang Richard Burns dan Petter Solberg bergelar juara WRC – masih lagi terus digunakan. Malah untuk model S208 terkini, enjin EJ20 tersebut masih digunakan berbanding varian standard WRX yang telah pun menggunakan enjin generasi baharu FA20.

GALERI: Subaru WRX STI S208 di Tokyo Motor Show 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required