Sudah banyak kali perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dilaporkan mengalami pelbagai masalah teknikal dan menampakkan kelemahan syarikat pengendali sehingga mendatangkan rungutan di kalangan penggunanya. Tren lambat, rosak dan paling mendukacitakan bila ia melibatkan insiden pertembungan dua buah tren yang berlaku setahun yang lalu.
Kini sudah tiba masanya untuk perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya yang telah mula beroperasi sejak 1998 ini ditambahbaik secara total.
Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengesahkan perkhidmatan LRT tersebut sedang ditambah baik dengan RM800 juta akan dibelanjakan untuk “mid-life refurbishment” melibatkan 28 set tren siri 818, laporan Bernama.
Katanya, sudah tiba masanya “mid-life refurbishment” iaitu penyenggaraan, pembaikan dan membaik pulih (MRO) tahap empat bagi tren untuk laluan Kelana Jaya kerana ia adalah proses penting untuk melanjutkan usia penggunaan tren serta penyelenggaraan akan memastikan hayat penggunaan yang lebih lama kerana tren berkenaan telah digunakan antara 14 hingga 15 tahun.
“Kerajaan bakal menerima 19 tren jenis baharu pada suku keempat tahun depan untuk dibekalkan bagi laluan Kelana Jaya kerana ia adalah laluan yang popular dengan 350,000 penumpang sehari dan dijangka bertambah sibuk apabila Fasa 1 Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya mula beroperasi 16 Jun ini.
“Dalam tempoh penyelenggaraan itu, perkhidmatan laluan Kelana Jaya akan melihat kekerapan tren empat minit berbanding 2.5 minit namun situasi itu akan kembali pulih dalam tempoh enam bulan,” kata Wee dalam sidang media berhubung langkah diambil Prasarana Malaysia Bhd untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan.
Tambah beliau, empat insiden berlaku berturut-turut sejak 2 Mei lepas sehingga kelmarin melibatkan laluan Kelana Jaya dan antara isu yang dikenal pasti menyumbang kepada insiden itu adalah brek kecemasan dan kerosakan angkup brek.
Beliau turut dimaklumkan oleh Prasarana Malaysia Bhd dan Rapid Rail mengenai cabaran yang dihadapi berkaitan gangguan terhadap sistem kendalian pemanduan automatik tren (ATC) khusus pada tren empat gerabak jenis 818 yang menyebabkan brek kecemasan diaktifkan dan sebanyak 38 insiden brek kecemasan telah berlaku antara 1 April hingga 5 Mei lepas.
“Daripada data yang diperolehi, gangguan ini disebabkan oleh beberapa faktor khususnya masalah takometer yang menyumbang 47% daripada jumlah kes, unit elektronik 32%, antena 6% dan masalah-masalah lain sebanyak 15%. Oleh itu, Prasarana akan membuat penggantian 140 takometer membabitkan kos RM5 juta kerana ia komponen penting,” katanya.
Wee berkata program pemeriksaan khas bagi memeriksa komponen dilaksanakan Rapid Rail selain daripada penggantian komponen rosak serta ujian dinamik turut akan dilakukan bagi memastikan masalah ini tidak berulang dan sehingga kini tahap pemeriksaan dan pembaikan telah mencapai 14 peratus dan disasarkan siap sepenuhnya pada Ogos tahun ini.
Selain itu, beliau berkata insiden turut dilaporkan berlaku melibatkan tren empat gerabak siri 818 yang berpunca daripada kerosakan angkup brek dan langkah segera yang sedang diambil ialah pelaksanaan program pembaikan sistem angkup brek bagi tren berkenaan sedang giat dijalankan dan telah mencapai kemajuan sebanyak 39% dan disasarkan siap sepenuhnya pada November 2022.
“Manakala langkah tambahan yang sedang diambil adalah mempertingkatkan kekerapan pemeriksaan secara mingguan terhadap tren 818 sebelum tren tersebut digunakan di dalam perkhidmatan,” katanya.
Susulan beberapa insiden, Wee berkata Prasana mengambil inisiatif segera menambah baik operasi pengurusan krisis bagi mengurangkan impak kepada penumpang ketika berlaku gangguan iaitu menempatkan beberapa unit bas di stesen utama dan strategik seperti stesen LRT Bangsar dan hab Pasar Seni untuk diaktifkan sekiranya berlaku kecemasan jika kelewatan perkhidmatan tren melebihi 15 minit.
Selain itu, anggota polis bantuan Prasarana akan ditambah di stesen sibuk seperti Masjid Jamek, Pasar Seni dan KLCC pada waktu puncak serta meningkatkan pengurusan kawalan orang ramai dengan menambah baik kecekapan komunikasi kepada penumpang ketika berlaku gangguan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.