Perodua Myvi sememangnya antara model paling ikonik di Malaysia, ibarat Mini Cooper di UK. Dan antara versi paling ikonik untuk Myvi itu sendiri sudah tentu ialah Myvi Extreme 1.5 yang diperkenalkan pada September 2011.
Ia merupakan model pertama Myvi yang menerima enjin 1.5 liter yang boleh dikatakan agak berkuasa untuk badannya yang kecil dan ringan membolehkan model dengan kotak gear manual memecut 0-100 km/h di bawah 10 saat, serta tampil dengan kit badan yang begitu garang terdiri spoiler bawah bampar dan spoiler belakang yang begitu agresif, serta terkenal dengan warna kuning yang begitu sinonim dengannya.
Sebagai penghormatan, Bryks Art telah menghasilkan replika Myvi Extreme 1.5 ini dalam skala 1:1 menggunakan bongkah Lego untuk dipamerkan sempena pameran King of The Road yang kini sedang berlangsung di Publika Shopping Gallery, anjuran kumpulan artis Lego berkenaan.
Bagi replika 1:1 ini, ia diberi nama sebagai Perodua MyBi, dihasilkan oleh 15 orang rakyat Malaysia dan mengambil masa sekitar dua bulan untuk disiapkan. Seperti yang anda boleh lihat, replika tersebut dibina sangat terperinci dan seiras dengan Myvi sebenar, dengan lengkuk badan serta bahagian dalaman yang lengkap, menggunakan sejumlah 1.27 juta bongkah Lego!
Emblem ‘Myvi’ pada badan replika ini turut diubah kepada ‘MyBi’ bersama logo ‘P’ Perodua diubah kepada ‘B’ sebagai unsur seakan parodi. Walau bagaimanapun, ada beberapa bahagian yang tidak dihasilkan dengan bongkah Lego, antaranya adalah gandar, rim dan tayar, pembesar suara, cermin serta beberapa buah mentol lampu.
Bagi replika-replika lain, ia dihasilkan dalam skala 1:4 yang lebih kecil. Ia termasuk MyBi Rocket untuk mengembara ke angkasa, MyBi ATV untuk meredah off-road, MyBi Tractor untuk kerja-kerja ladang, MyBi Tank untuk kegunaan ketenteraan, dan juga MyBi Robot yang kelihatan seperti watak Transformers iaitu Bumblebee.
Menurut Bryks Art, kesemua replika Myvi ini dihasilkan adalah berdasarkan foto-foto dan meme popular berkaitan Myvi di dunia siber – sebab itulah mengapa pameran ini dinamakan sebagai “King of The Road”. Selain dari pameran ini, pengunjung yang hadir juga boleh turut serta dalam aktiviti seperti membina seni mozek, serta jualan-jualan barangan dari Bryks Art.
Acara ini telah berlangsung bermula semalam sehingga Ahad ini (29 Mei 2022), dan ia dibuka bermula pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.