Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan larangan penggunaan skuter elektrik (e-skuter) di sekitar Dataran Merdeka, memandangkan ia adalah sebahagian dari jalan awam dan tidak diwartakan untuk aktiviti berkenaan. Malahan, katanya, keputusan itu selaras dengan arahan kerajaan bahawa tiada kenderaan mikromobiliti, termasuk e-skuter, dibenarkan di jalan awam.
Dalam laporan Bernama menyebut, DBKL turut menyita dua unit e-skuter yang digunakan untuk disewa kepada orang ramai memandangkan aktiviti ini tidak dibenarkan. “Tiada kebenaran diberikan oleh DBKL untuk aktiviti ini. Anggota penguat kuasa juga telah membuat laporan polis terhadap pengendali yang menghalang tugas penjawat awam, manakala skuter elektrik yang disita itu dibawa ke Stor Rampasan DBKL di Jalan Lombong, Cheras,” kata DBKL itu dalam satu kenyataan.
Pada 26 April lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata kenderaan mikromobiliti adalah dilarang digunakan di jalan raya. Menurut kementerian terbabit, kenderaan mikromobiliti dirujuk sebagai kenderaan yang dijanakan oleh elektrik elektrik, enjin pembakaran dalaman, atau kuasa manusia, atay gabungan kuasa manusia dengan mana-mana enjin yang disebut itu, dengan kelajuan maksimum mencecah 50 km/j.
Larangan tersebut membabitkan Moped, Personal Mobility Devices (PMD – contoh e-skuter, hoverboard, skateboard dan kick scooter) dan Personal Mobility Aids (PMA – cotnoh kerusi roda bermotor, skuter mobiliti). Wee berkata, penggunaan tiga kategori kenderaan mikromobiliti ini masih dibenarkan di dalam bangunan dan kawasan yang tiada percampuran aliran trafik.
Tambah beliau, penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.
“Kami mahu menguatkuasakan perkara ini kerana semakin banyak kenderaan mikromobiliti digunakan di jalan raya sejak kebelakangan ini. Ia boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada pengguna kenderaan mikromobiliti tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain,” kata Wee.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.