Pengecualian cukai jualan (SST) yang sedang berlangsung untuk kenderaan baharu bakal berakhir pada 30 Jun 2022, dan setakat ini, tiada lagi khabar berita mengenai tempoh lanjutan skim ini, biar pun ada permintaan. Bulan lalu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk lanjutan tempoh pengecualian SST, namun sehingga kini tiada maklum balas mengenainya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong turut memberikan pandangan beliau mengenai perkara ini, mengikut laporan The Star. Dalam sesi Q&A susulan pelancaran ACO ATLAS semalam, beliau berkata, pengecualian cukai tersebut dilihat memberikan manfaat buat industri automotif.
Walau bagaimana pun, beliau difahamkan MoF mempunyai pertimbangan kewangan sendiri untuk dibuat, dan oleh itu, beliau menjelaskan bahawa keputusan sama ada untuk meneruskan lagi skim itu terserah kepada kementerian terbabit.
Beliau berkata lagi, pengecualian cukai jualan sebanyak 100% bagi kereta pemasangan tempatan (CKD) dan 50% bagi kereta import sepenuhnya (CBU) banyak membantu industri sepanjang berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19. “Jika tidak, situasi ini pasti menjadi lebih sukar buat syarikat pengedar kenderaan untuk bertahan sepanjang pandemik,” katanya.
Sambungnya lagi, “Insentif terbabit mampu melonjakkan lagi sektor ekonomi dan fasa pemulihan kita, dan Kementerian Pengangkutan melihat ini melalui transaksi di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira keupayaan kewangan negara dan untuk itu, saya serahkan kepada budi bicara kementerian kewangan.”
Wee berkata beliau akan berkongsi pendapatnya dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. “Saya akan membincangkan perkara ini apabila saya bertemu dengannya tidak lama lagi. Sebagai Menteri Pengangkutan, saya merasakan skim pengecualian itu telah memberi manfaat kepada perniagaan dan pengedar kereta. Mereka dapat mengekalkan perniagaan mereka dan tidak perlu membuang pekerja.
“Tetapi apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan akan disokong oleh Kementerian Pengangkutan, kerana kami adalah sebahagian daripada kerajaan yang sama. Ia adalah keputusan dan tanggungjawab bersama,” tambahnya.
Pengecualian SST pertama kali diumumkan pada 5 Jun 2020 sebagai sebahagian daripada pakej PENJANA untuk mengurangkan impak perintah kawalan pergerakan pertama, yang dilaksanakan dari Mac tahun itu. Pada asalnya, pengecualian SST itu berakhir pada 31 Disember tahun yang sama, namun ia dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021, dan sekali lagi pada 31 Disember 2021. Lanjutan kali ketiga, yang merupakan pengecualian terkini, diumumkan ketika pembetangan Bajet 2022.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Tapi rakyat akan marah jika SST tax exempt sbb banyak traffic jam di jalan raya dan lebuh raya. Banyak pihak yang mengundi untuk bertanya tentang SST tax exemption lagi harus mendengar daripada rakyat kenapa kita tak akan gembira jika teruskan untuk SST tax exemption. Pollution are everywhere. Tolong la fikirkan tentang rakyat, kerajaan memerlukan wang untuk makanan, minyak, barangan keperluan dan lain-lain daripada meminta SST tax exemption lagi.