April lalu dengan jelas, Kementerian Pengangkutan (MoT) telah mengumumkan bahawa kenderaan mikrobiliti yang dikelaskan dalam tiga kategori iaitu Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) adalah diharamkan serta merta penggunaannya di atas jalan raya, di mana skuter elektrik adalah sebahagian dari larangan ini.
Walau bagaimanapun penjualan untuk kenderaan-kenderaan ini masih belum diharamkan kerana ia masih lagi boleh digunakan di rumah dan juga di kawasan-kawasan persendirian – asalkan bukan di atas jalan raya awam. Namun untuk mereka yang membeli kenderaan sebegini untuk kegunaan rekreasi bersama keluarga, anda seharusnya memantau penggunaan kenderaan tersebut terutamanya melibatkan kanak-kanak.
Semalam seorang pengguna Facebook bernama Ayub Mohd Ali telah memuatnaik video yang dirakam oleh dashcam pada keretanya, memaparkan bagaimana dia hampir-hampir melanggar sebuah skuter elektrik yang ditunggang oleh seorang kanak-kanak perempuan bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki yang dibonceng di belakangnya.
Menurutnya video tersebut dirakam di Kg. Jengka Batu 13, Pahang, di mana kanak-kanak yang menungggang skuter elektrik berkenaan dilihat mahu melintas jalan tanpa berhenti dan melihat dahulu keadaan trafik, menyebabkan dia terpaksa mengelak secara tiba-tiba bagi mengelak berlakunya kemalangan.
Malah sebenarnya terdapat satu lintasan pejalan kaki berhampiran kawasan tersebut yang tidak langsung digunakan oleh kanak-kanak berkenaan untuk melintas jalan.
Sebelum ini Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong ada menyatakan bahawa penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.
Ini hukuman sekiranya anda ditangkap oleh pihak berkuasa berkaitan kerana menggunakan kenderaan-kenderaan sedemikian di atas jalan raya awam, bukan dalam situasi terjadi apa-apa yang tidak diingini. Bagaimana kalau berlaku kemalangan? Sudah macam-macam tragedi berlaku di atas jalan raya sebelum ini akibat pengabaian terhadap keselamatan kanak-kanak. Jadi kalau sayang anak masing-masing, anda fikir-fikirlah sendiri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.