Selepas mengeluarkan motosikal berkapasiti rendah G310 R dan G310 GS pada tahun 2015 yang lalu, ramai menyangkakan ia akan disusuli oleh versi sport fairing penuh G310 RR. Ternyata ia mengambil masa yang agak lama kerana baru sekarang BMW bersedia untuk mengeluarkan motosikal tersebut, dengan teaser untuknya sudah pun ditunjukkan, dan nama yang disahkan sebagai G310 RR.
Bukan lagi rahsia, G310 R dan G310 GS sebelum ini memang sudah diketahui menggunakan motosikal jenama TVS dari India sebagai asas. Begitu juga dengan G310 RR baru ini. Dijangkakan juga, tidak banyak yang akan diubah oleh BMW untuk model mereka sendiri kerana melihat daripada teaser, hampir semua bahagian adalah sama.
Ini termasuklah panel-panel badan, lampu belakang dan hadapan, rim, bentuk tangki, penghadang angin hadapan, fender dan juga ekzos. Namun yang pastinya, lencana serta grafik untuk G310 RR ini akan diubah mengikut konsep jentera BMW.
Spesifikasi teknikal juga dijangka tidak berbeza, dan jika melihat kepada TVS Apache 310 RR, ia dipacu oleh enjin empat strok satu silinder penyejukan cecair 312.2 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan 34 PS pada 9,700 rpm dan 27.2 Nm tork pada 7,700 rpm. Motosikal ini juga datang dengan empat mod tunggangan iaitu Rain, Urban, Sport dan Track.
Tiada pelarasan untuk bahagian suspensi, dan ia melibatkan fork USD di hadapan dan monoshock dengan tabung gas di belakang. Rim bersaiz 17 inci dan dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. Kedua-dua bahagian hadapan dan belakang mendapat brek cakera, dan dilengkapi dengan ABS yang mempunyai dua mod.
Berat keseluruhan Apache 310 RR adalah 174 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 11 liter. Menariknya tentang Apache 310 RR ini, ia turut dilengkapi dengan panel instrumen TFT berwarna penuh, yang boleh disambung kepada telefon pintar, dan memaparkan pelbagai informasi serta fungsi termasuk data tunggangan, tarikan G, analisis corak tunggangan serta pelbagai lagi.
GALERI: TVS Apache RR 310 di India
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.