Model motosikal kelas permulaan BMW iaitu G310R, G310GS dan G310GS ’40 Years Edition’ versi tahun 2021 kini sudah tiba di Malaysia dengan harga masing-masing RM27,500, RM29,500 dan RM31,500. Harga ini tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Bagi model G310GS yang mempunyai bentuk adventure, tiga warna ditawarkan iaitu Kyanite Blue Metallic (Style Rally), Polar White dan Cosmic Black (khas untuk versi ’40 Years Edition’). G310R yang membawa gaya naked pula ditawarkan hanya dalam satu warna sahaja iaitu Limestone Metallic (Style Sport), dengan rangka serta rim berwarna merah.
Bahagian mekanikal model G310 ini masih tidak berubah, di mana ia menggunakan enjin satu silinder DOHC penyejukan cecair 313 cc yang mampu menghasilkan 34 hp pada 9,500 rpm dan 28 Nm tork pada 7,500 rpm.
Sistem ride-by-wire pada motosikal ini walaubagaimanapun telah ditala semula untuk memberikan maklum balas pendikit yang lebih baik manakala kelajuan melahu enjin telah dinaikkan supaya ia tidak mudah mati apabila mahu memulakan pergerakan.
Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist and slipper, yang dapat mengurangkan daya tarikan tuil serta mengelakkan lantunan tayar belakang apabila menurunkan gear secara agresif.
Perubahan lain yang diberikan adalah warna kelabu titanium pada penutup alternator, klac serta pam air. Bagi G310GS ’40 Years Edition’, hanya 40 unit ditawarkan untuk pasaran Malaysia dan ia menggunakan padanan warna hitam dan kuning yang khas untuknya.
GALERI: BMW G310R 2021
GALERI: BMW G310GS 2021
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.