Varian flagship Isuzu D-Max 3.0 X-Terrain dari model generasi ketiganya kini diberikan kemaskini untuk tahun 2022 untuk pasaran tempatan. Kemaskini yang diberikan tidak terlalu banyak, tetapi menambahkan lagi senarai kelengkapan yang ada padanya.
Apa yang baru? Pertama, dua pilihan warna untuk varian ini — Silky Pearl White dan Onyx Black. Dua warna ini menyertai Valencia Orange yang menjadi warna khusus untuk X-Terrain sebelum ini, dan Sapphire Blue telah digugurkan, menjadikan pilihan warna yang ditawarkan ketika ini hanya ada tiga.
Turut melengkapinya adalah kamera peninjau sekeliling 360-darjah melalui kamera baru yang terletak di cermin sisi dan gril trak. Ciri ini tidak hanya memberikan pandangan dari atas ketika memasuki gear undur, tetapi juga ada paparan panduan 3D pada skrin 9.0-inci di tengah. Ciri ini amat berguna, mengambil kira saiznya.
Satu lagi ciri baru ialah pengecas tanpa wayar yang terletak di depan tombol gear. Tidak lupa “welcome light” yang menjadi permintaan ramai pelanggan sebelum ini dan disertakan dalam kemaskini terbaru berkenaan. Lampu ini akan menerangi bahagian kaki di bawah trak ketika kunci pintu dibuka, memudahkan pengguna untuk melihat di sekitarnya. Yang terakhir ialah scuff plate dengan pencahayaan; ada sekali logo X-Terrain dan lampunya dalam warna putih.
“Populariti D-Max terutamanya X-Terrain kekal menggalakkan, dengan ramai pembeli pertama memilih untuk memilikinya. Aspek keselamatannya, keselesaan, boleh ke mana saja serta kepelbagaian yang diberikan menyebabkan ada yang beralih daripada kereta biasa kepada trak ini. Saya percaya dengan kemaskini yang diberika ini, D-Max X-Terrain akan terus mempunyai daya penarik terhadap ramai orang yang sedang mempertimbang untuk beralih juga,” ujar Ketua Pegawai Operasi, Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.
Dengan pertambahan kelengkapan ini, harganya juga sedikit naik, kini dijual RM146,938 atas jalan tidak termasuk insuran. Ketika dilancarkan pada April 2021, harga X-Terrain ialah RM141,938 — ini melibatkan kenaikan RM5,000. Jaminan yang diberikan adalah selama tujuh tahun tanpa had perbatuan, dan kini mula dibuka untuk tempahan dengan serahan dijangka bermula pertengahan Julai nanti.
X-Terrain menggunakan enjin 3.0 liter VGS turbodiesel dengan 190 PS dan 450 Nm tork dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Enjin ini digandingkan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan, dan sistem Terrain Command 4WD membolehkan mod pemanduan di pilih (2WD, 4WD-High, 4WD-Low) ketika memandu. Ada juga diff-lock belakang, pelindung bawah badan dan 800 mm kedalaman redahan air.
D-Max varian tertinggi ini datang lengkap dengan ciri ADAS yang terdiri daripada Forward Collision Warning, Autonomous Emergency Braking (AEB), Turn Assist, AT Pedal Misapplication Mitigation, Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop/Go, Lane Departure Warning, Automatic High Beam, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert. Selain itu, ada tujuh beg udara.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.