Bulan lalu, Prodrive iaitu firma kejuruteraan British yang mengendalikan Subaru World Rally Team (SWRT) sejak ia ditubuhkan pada 1989 sehingga jenama tersebut menarik diri dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada 2008, mengumumkan bahawa mereka bakal memperkenalkan model edisi terhad Prodrive P25, iaitu model jelmaan semula 22B tetapi diberikan pelbagai perincian yang lebih moden dan lebih berkuasa.
Dan ini dia, Prodrive P25 telah didedahkan terlebih dahulu sebelum ia membuat kemunculan sulung pada Goodwood Festival of Speed yang akan bermula pada 23 Jun ini. Seperti yang diumumkan tempoh hari, P25 akan dihasilkan secara terhad hanya sebanyak 25-unit.
Model ‘kelahiran’ semula 22B ini dihasilkan jauh lebih agresif serta menampilkan lebih banyak teknologi perlumbaan dari Prodrive, dan ia sebenarnya jauh lebih hampir kepada jentera WRC sebenar berbanding 22B asli. Ia diasaskan dari kerangka Subaru Impreza WRX GC8 dua pintu, kemudian menerima kejuruteraan semula dengan untuk menjadikan ia lebih kukuh dan ringan, sama seperti apa yang Prodrive lakukan ketika membangunkan jentera WRC mereka.
Seperti lakaran teaser tempoh hari, P25 diberikan rupa lebih mirip kepada jentera Impreza WRCar 1997 berbanding model produksi jalan raya 22B STi, terutamanya pada bahagian bampar hadapan dengan gril bersepadu dengan bampar, logo Subaru ‘terapung’ serta liang udara yang mendedahkan dengan jelas radiator di belakangnya. Ia juga hadir dengan cermin sisi dan spoiler belakang gergasi WRCar sebenar.
Berbanding 22B yang menampilkan panel badan logam dan aloi, P25 sekali lagi menampilkan perincian yang hampir kepada jentera WRC sebenar dengan bonet hadapan, bumbung, penutup but belakang, cermin sisi, bampar hadapan dan belakang serta keempat-empat fender yang lebih lebar dari WRX GC8 standard – kesemuanya diperbuat dari material komposit karbon.
Jika 22B menerima enjin EJ22 2.2 liter boxer turbo berkuasa 280hp, P25 pula menerima enjin EJ25 2.5 liter dalam versi paling terkini diproduksi oleh Subaru (dengan sistem injap bervariasi dan sebagainya) kemudian dirombak semula oleh Prodrive bagi mengekstrak lebih kuasa.
Enjin tersebut menerima komponen dalaman termasuk pelapik silinder (cylinder liners), omboh, rod penyambung (con rod) serta rangkaian injap yang kesemuanya binaan khas dari Prodrive. Ia kemudiannya menerima sistem turbo untuk sukan permotoran dari Garret lengkap dengan sistem anti-lag seperti kereta rali sebenar, bersama intercooler dan kotak kemasukan udara berprestasi tinggi, serta sistem ekzos perlumbaan titanium dan logam tahan karat dari Akrapovic yang turut menampilkan injap by-pass penyenyap.
Secara keseluruhan, enjin baharu tersebut mampu menghasilkan kuasa 400 hp dan tork maksima 600 Nm! Ia digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan (separa automatik, gear helix) bersama pedal penukar gear, dengan kuasa dipindahkan menerusi set klac lapisan berkembar dari AP Racing.
Untuk sistem pacuan empat roda, gandar hadapan dan belakang menerima set LSD, bersama LSD tengah aktif dan boleh dilaras bagi memberikan agihan tork tepat antara roda hadapan dan belakang. Selain anti-lag, jentera rali jalan raya ini turut menerima sistem launch control gaya-WRC sebenar, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat.
Dengan sistem launch control tersebut, pemandu hanya perlu menekan pedal pendikit ketika kereta berkenaan ‘berlepas’, dengan sistem fly-by-wire pada pedal pendikit dan dan pedal klac pada set pedal box serta kotak gear akan memberikan tukaran gear 1-2-3 secara automatik bagi memberikan pecutan paling optimal.
Menurut Prodrive, P25 ini juga diberikan pelbagai komponen ringan lain termasuk bateri lithium-ion. Secara keseluruhan, model jelmaan semula 22B ini ditimbang tidak sampai 1,200 kg.
Konfigurasi suspensi asal topang McPherson pada GC8 masih dikekalkan pada P25, namun Prodrive telah merombak semula rekaannya dengan komponen yang diperbuat dari aluminium membolehkan geometri camber dan toe dilaras dan dioptimakan, bersama dengan trek roda selebar 1,770 mm.
Prodrive turut memadankan penyerap hentak boleh laras dari Bilstein. Manakala spring dan bar anti-oleng yang dipadankan adalah ditala untuk mendapatkan pengendalian optima di atas permukaan tar – pemilik boleh menukar kedua-dua komponen tersebut mengikut keperluan pemanduan lain.
P25 ini dilengkapkan dengan set roda yang terdiri dari set rim yang dihasilkan oleh Prodrive sendiri dengan saiz 19-inci dan lebar 8.5 jj, dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza 235/35/R19 yang didakwa menepati talaan pada penyerap hentak.
Manakala untuk brek, P25 menerima set lengkap dari AP Racing menampilkan cakera berliang 380 mm dan angkup enam-omboh di hadapan serta cakera berliang 350 mm dan angkup empat-omboh di belakang. Pembeli turut ditawarkan dengan pelbagai jenis pad brek untuk sistem ini mengikut kesesuaian masing-masing.
Untuk kabin, P25 masih mengekalkan papan pemuka asal GC8, tetapi diberikan pelbagai kemasan dan perapi dari material lebih moden serta perincian yang hampir dengan kereta rali sebenar. Ia diberikan upholsteri dengan kombinasi kulit dan alcantara, bersama pelbagai kemasan dari gentian karbon.
Secara asasnya, P25 masih direka sebagai coupe dua-pintu dengan empat tempat duduk. Namun pembeli boleh memilih untuk memadankan sepasang tempat duduk perlumbaan pada bahagian hadapan, tempat duduk belakang di cabut serta diberikan separa roll cage, serta panel sebelah dalam pintu yang diperbuat dari gentian karbon.
Panel meter analog Impreza tidak lagi digunakan, sebaliknya digantikan dengan paparan instrumen digital berdefinasi tinggi dari Motec yang turut menampilkan fungsi data-logger seperti kereta lumba sebenar. Jadi untuk pemanduan litar, pemandu boleh membuat tetapan semula untuk respon pendikit, pemetaan prestasi enjin serta larasan untuk sistem anti-lag.
Malah ia juga dilengkapi dengan brek tangan ‘fly-off’ gaya WRC sebenar, yang bukan sahaja dapat mengunci dengan mudah cakera brek belakang, malah turut akan memutuskan alihan kuasa ke gandar belakang bagi memudahkan aksi ‘handbrake turn’ pada selekoh tajam dan sempit atau memulakan aksi drift. Manakala untuk memastikan kereta ini tidak bergerak ketika diparkir, ia dilengkapi dengan brek parkir elektrik secara standard.
P25 dihasilkan sempena kemenangan pertama Impreza spesifikasi WRCar (undang-undang yang mula digunakan pada 1997 bagi menggantikan spesfikasi Group A sebelum itu) dalam WRC 25 tahun lalu. Model ini dibangunkan sepenuhnya oleh Prodrive di fasiliti mereka di Banburry, serta turut melibatkan lagenda-lagenda yang membangunkan Impreza WRCar 1997 dan juga 22B STi 25-tahun lalu.
Antaranya pereka asal Impreza WRCar 1997 iaitu Peter Stevens yang mengolah semula beberapa rekaan pada P25 ini, serta pengarah teknikal Prodrive, David Lapworth yang mengetuai pembangunan Impreza WRCar lebih 25-tahun lalu yang turut memantau projek P25 ini.
Selepas membuat kemunculan sulungnya di Goodwood FOS 2022 hujung minggu ini, P25 akan terus diuji bagi melengkapkan program pembangunannya, dan pelanggan terawal yang menempahnya ini akan menerima kereta mereka pada lewat tahun ini.
Harga? Menurut Prodrive, P25 akan dijual pada harga atas jalan lengkap tidak termasuk cukai £460,000 (RM2.48 juta!). Jika anda lebih berminat dengan model asli Subaru Impreza 22B yang dihasilkan hanya 424-unit pada tahun 1998, model berkenaan buat masa sekarang dijual pada harga sekitar RM1.5 juta pada laman-laman lelongan seluruh dunia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.