Seperti yang diarahkan oleh kerajaan, kereta-kereta yang digunakan untuk perkhidmatan e-Hailing yang berusia lebih dari tiga tahun kini perlu melakukan pemeriksaan tahunan di Puspakom. Namun ada rungutan dari pemandu e-Hailing yang menyatakan bahawa mereka kerap gagal dalam ujian brek, dan ada yang sampai perlu mengambilnya berulang kali untuk lulus.
Isu ini membuatkan ada yang ragu-ragu dengan Puspakom. Jadi untuk memberikan penerangan yang jelas mengapa ramai yang gagal ujian tersebut, Puspakom telah menganjurkan bengkel berkenaan pemeriksaan E-hailing di Puspakom Alor Gajah Melaka pada 17 Jun lepas, yang dibuat secara percuma.
Menurut Puspakom, sistem brek pada kenderaan mempunyai banyak komponen, dan kerosakan pada mana-mana komponen berkenaan boleh menjadi sebab mengapa brek tidak dapat berfungsi selari dengan kemampuan yang ditetapkan oleh pemeriksaan Puspakom, seterusnya mereka gagal dalam ujian berkenaan.
Antara kerosakan yang paling kerap menyebabkan kegagalan tersebut termasuk kebocoran minyak atau tekanan dalam saluran bendalir brek, kekurangan tekanan udara dalam saluran brek, kerosakan pada modulator brek ABS, pad brek yang berminyak atau bergris, kerosakan pada ‘booster’ brek, serta sistem brek yang tidak dilaras dengan betul.
Puspakom turut menasihatkan pemandu-pemandu e-Hailing membuat Pemeriksaan Kenderaan Sukarela terlebih dahulu untuk melihat prestasi brek serta mengesan sebarang kerosakan sebelum melakukan pemeriksaan mandatori. Ini membolehkan mereka membuat pembaikan pada mana-mana komponen terlebih dahulu dan lulus dengan mudah ketika pemeriksaan mandatori.
Pemeriksaan Kenderaan Sukarela ini bukan sahaja dibuka hanya untuk sistem brek, malah untuk semua sistem mekanikal lain, dan dibuka untuk semua termasuk kenderaan persendirian biasa. Bayaran yang dikenakan adalah serendah RM15 untuk setiap item.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.