Johor bakal perbanyakkan stesen pengecas EV, termasuk kawasan luar bandar tumpuan pelancongan

Johor bakal perbanyakkan stesen pengecas EV, termasuk kawasan luar bandar tumpuan pelancongan

Kerajaan Negeri Johor sedang merancang untuk membina lebih banyak stesen pengecas kende­raan elektrik (EV) dalam tempoh beberapa tahun lagi, bukan sahaja di kawasan bandar, malah turut mensasarkan kawasan luar bandar yang menjadi tumpuan pelancong, lapor Utusan Online.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar, inisiatif berkenaan dibuat adalah untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri tersebut. Dan bagi merealisasikan perkara ini, pihaknya telah bekerjasama dengan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk menjalankan kajian dalam tempoh 18 bulan.

“Pada masa ini, jumlah stesen EV di Johor masih kecil. Jadi, kita bercadang untuk menambah bilangan stesen yang menawarkan perkhidmatan tersebut, khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi tarikan pelancong,” katanya

“Langkah ini juga selari dengan keputusan kerajaan Singapura yang sedang beralih menuju penggunaan kenderaan elektrik menjelang 2040. Jadi, adalah lebih baik untuk kita membuat persediaan awal. Ini kerana jika tiada persediaan, kita akan kerugian kerana kemudahan itu secara tidak langsung turut menyumbang kepada pendapatan dalam sektor pelancongan di negeri ini,” tambahnya dalam laporan berita semalam.

Walau bagaimanapun, Raven menegaskan bahwa usaha ini turut memerlukan penglibatan daripada pelbagai pihak termasuk swasta, khususnya pemain industri yang berkepentingan.

“Untuk menjayakan perkara ini, kita tidak boleh hanya berharap kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya pemain industri dan pelbagai sektor lain boleh turut melibatkan diri. Jika sesuatu lokasi tumpuan pelancongan menyediakan kemudahan stesen pengecas EV, itu pasti akan menjadi nilai tambah dalam menarik kehadiran pengunjung ke lokasi berkenaan,” jelasnya.

Johor dilihat semakin proaktif dalam mempromosikan penggunaan EV di negeri berkenaan. Jun lalu, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah menggantikan lima kereta rasminya dengan kereta elektrik, dan bercadang untuk menambah penggunaan EV lain seperti van-van elektrik.

Langkah berkenaan adalah sebahagian dari rancangan jangka masa panjang untuk mengurangkan jejak karbon, bagi menjadikan bandaraya di Johor tersebut sebuah tempat yang moden dan mesra alam.

“Kita perlu bergerak ke arah itu memandangkan negara jiran kita Singapura sudah mengambil langkah proaktif untuk mengehadkan penggunaan kenderaan yang menggunakan diesel, sambil menggalakkan penggunaan EV. Untuk mendapat manfaat daripada ekonomi Singapura, kita perlu setanding dengan mereka. Pada masa ini, kami mempunyai beberapa stesen pengecas EV di kawasan Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Pasir Gudang tetapi kami memerlukan lebih banyak lagi,” kata pengerusi jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required