Sistem hubungan telefon pintar ke sistem infotainmen kenderaan seperti Android Auto dan Apple CarPlay bukan sesuatu yang baru. Walaupun ia diakui merupakan antara perincian yang memudahkan pemandu dengan membolehkan sistem navigasi berasaskan internet seperti waze dan Google map beroperasi dengan mudah, malah turut membolehkan aplikasi strim muzik seperti Spotify dan Jook dikawal menerusi skrin infotaimen, tiada lagi jenama automotif tempatan yang menyediakan fungsi tersebut.
Sehinggalah Perodua Alza generasi kedua dilancarkan pagi tadi – jika anda memilih varian tertinggi AV, sistem infotainmen dengan skrin sembilan-inci pada model berkenaan kini telah tersedia dengan sistem hubungan Android Auto, menjadikan ia kereta jenama nasional pertama menerima perincian sedemikian.
Tetapi maaf untuk pengguna iPhone, sistem hubungan Apple CarPlay masih belum boleh digunakan pada Alza 2022 ini (mungkin akan ditingkat taraf pada masa hadapan). Manakala untuk sistem Android Auto yang dibekalkan ini, ia masih perlu dihubungkan menggunakan wayar menerusi port USB yang terletak pada sebelah bawah kanan skrin infotainmen berkenaan.
Selepas menghubungkan telefon pintar anda dengan skrin berkenaan, aplikasi ini boleh diaktifkan menerusi skrin “Home” dengan menekan ikon Android Auto yang diletakkan sebaris dengan ikon “Phone”, “Media” dan “Settings”. Tetapi jangan lupa, anda perlu terlebih dahulu melengkapkan aplikasi Android Auto tersebut pada telefon pintar anda.
Bagi model varian pertengahan Alza 1.5 H, walaupun skrin yang diberikan juga bersaiz sembilan inci, ia tidak dilengkapi dengan hubungan Android Auto ini. Skrin pada varian H tersebut juga nampak lebih ringkas kerana ia hanya mempunyai butang on/off pada sebelah kiri bersama mikrofon, manakala skrin pada varian AV turut diberikan butang ‘home’, kawalan tahap bunyi, dan ‘mute’.
Selain dari fungsi Android Auto ini, Alza AV 2022 ini juga menerima perincian yang agak premium termasuk sistem brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi Brake Hold (juga pertama kali diperkenalkan pada model Perodua) serta kamera pemantau panaromik 360-Darjah. Katalog aksesori Perodua GearUp juga turut menawarkan sistem kamera perakam digital (dashcam) yang diintegrasikan pada kamera panaromik berkenaan dengan tambahan bayaran RM500.
Perodua Alza 2022 ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan varian asas 1.5 X berharga RM62,500, diikuti varian pertengahan 1.5 H dijual pada harga RM68,000 dan varian tertinggi AV dijual pada harga RM75,500.
MPV baharu ini ditawarkan dalam lima warna badan berbeza, terdiri dari satu warna solid dan empat warna metalik. Satu-satunya warna solid iaitu Ivory White, bersama Glittering Silver dan warna baru Elegant Black ditawarkan untuk ketiga-tiga varian, manakala warna Garnet Red dan Vintage Brown hanya untuk varian H dan AV. Ia hadir dengan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.
Untuk lebih perincian berkenaan Perodua Alza 2022 ini, anda boleh baca laporan pelancarannya yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI, dan untuk mengetahui perbezaan antara varian anda boleh rujuk laporan khas kami pada PAUTAN INI.
GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L AV
GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L H
GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L X
GALERI: Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp
GALERI: Brosur Perodua Alza 2022
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.