Tempahan kenderaan tertunggak dipercayai cecah lebih 500k unit – tempoh menunggu lebih lama

Tempahan kenderaan tertunggak dipercayai cecah lebih 500k unit – tempoh menunggu lebih lama

Meskipun ekonomi Malaysia dikatakan masih lagi belum pulih sepenuhnya daripada kesan negatif akibat pandemik, jualan kenderaan baru nampaknya menunjukkan keadaan yang sebaliknya. Pada 20 Jun lalu, semasa pengumuman pengecualian cukai tidak disambung, menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu bahawa industri automotif mempunyai tempahan tertunggak sekitar 264,000 buah kenderaan.

Sekarang, menurut penganalisis Hong Leong Investment Bank, jumlah itu kini dipercayai telah meningkat lagi sehingga melebihi 500,000 unit. Perkara ini dilaporkan oleh Berita Harian, yang memetik kata-kata penganalisa HLIB Research, Daniel Wong, yang memberitahu bahawa tempahan tertunggak kini sudah melebihi setengah juta unit.

Peningkatan berganda ini adalah hasil daripada tempahan yang dibuat pada bulan lepas, apabila pembeli berpusu-pusu ke pusat pameran untuk merebut waktu akhir pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan kepada kenderaan baru yang ditempah sebelum 30 Jun dan didaftar sebelum 31 Mac tahun depan.

Dalam kenyataan yang sama, Wong turut memberitahu bahawa meskipun jumlah tempahan tertunggak yang tinggi ini dijangka dapat membantu pemulihan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) sehingga hujung tahun depan, TIV tahun 2023 masih dijangka perlahan.

Tempoh menunggu yang lama dijangka berlaku untuk semua model daripada semua pengeluar. Bagi Perodua yang berjaya mengumpul 25,100 tempahan dalam tempoh satu hari sahaja (30 Jun), mereka memberitahu bahawa pelanggan boleh menjangka tempoh menunggu antara enam hingga tujuh bulan, bergantung kepada model.

Walaubagaimanapun, ada di antaranya akan melibatkan tempoh yang lebih lama – dalam satu dokumen dalaman yang kami lihat sendiri, Perodua menyatakan bahawa tempoh menunggu untuk varian Axia yang lebih tinggi kini adalah sekitar 10.5 hingga 11 bulan, sementara Bezza varian atas pula mencecah 12.5 hingga 13 bulan.

Honda pula, semasa pelancaran HR-V baru menyatakan bahawa tempahan untuk SUV tersebut telah melepasi 20,000 unit, dan tempoh menunggu kini sudah melebihi 12 bulan. Melihat kepada syarikat lain, Mercedes-Benz Malaysia juga telah memberitahu bahawa tempoh menunggu untuk model mereka kini mencecah enam bulan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required