Honda HR-V 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, RS e:HEV hibrid; harga dari RM114,800

Honda HR-V 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, RS e:HEV hibrid; harga dari RM114,800

Selepas beberapa laporan susulan sebelum ini, Honda HR-V terbaru akhirnya telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ada empat varian ditawarkan bagi HR-V 2022 ini, dengan tiga pilihan sistem janaan kuasa.

Varian paling asas S menggunakan enjin 1.5L NA dan dijual pada harga RM114,800. Ini diikuti pula dengan varian Turbo E (RM129,800) dan Turbo V (RM134,800) yang dikuasakan oleh enjin 1.5L VTEC Turbo. Varian paling tinggi pula ialah RS e:HEV hibrid, pada harga RM140,800. Semuanya harga atas jalan dengan cukai jualan, tidak tertermasuk insurans.

Harga sebenar ketika pelancarannya adalah sedikit rendah berbanding harga anggaran (antara RM120k-RM140k) sebelum ini. Sama seperti semua model Honda di Malaysia, HR-V juga merupakan unit pemasangan tempatan (CKD).

Malaysia juga merupakan satu-satunya pasaran di dunia yang menerima penawaran tiga pilihan bagi sistem janaan kuasa HR-V 2022 ini. Sebagai contoh, Eropah dan Thailand hanya menyaksikan penawaran model hibrid sahaja; Indonesia dengan pilihan NA dan Turbo; manakala Australia NA dan hibrid.

Varian paling asas S menerima enjin 1.5L petrol yang sama digunakan bagi model City. Ia unit NA DOHC i-VTEC empat-silinder yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Varian E dan V pula menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo dengan janaan 181 PS dan 240 Nm tork antara 1,700 hingga 4,500 rpm. Ini 1 PS kurang daripada Civic FE, dan kedua-dua model NA dan Turbo ini digandingkan dengan CVT.

Varian RS pula dikhususkan untuk sistem janaan hibrid e:HEV. Motor elektrik i-MMD yang menjadi nadi utama kini 22 PS lebih berkuasa berbanding pada City, dengan 131 PS. Tork maksimum ialah 253 Nm. Enjin NA dengan kitaran Atkinson ini, yang bertindak selaku generator dan boleh memacu kereta ini dalam kelajuan tinggi, menghasilkan 107 PS dan 131 Nm. Angka ini 9 PS/4 Nm lebih tinggi berbanding City.

Honda HR-V 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, RS e:HEV hibrid; harga dari RM114,800

Selain itu, sistem i-MMD pada HR-V 2022 ini juga mempunyai lebih banyak sel dalam IPU-nya (intelligent power unit, atau bateri — 60 berbanding 48 sel) serta nisbah lebih rendah bagi transmisi e-CVT, bertujuan untuk mendapatkan pecutan yang lebih baik. Sistem i-MMD ini berbeza dengan sistem i-DCD generasi sebelumnya, membolehkan ia bertindak lebih cenderung sebagai range extender EV, dan bergerak dalam mod elektrik dalam tempoh yang lebih lama.

Model generasi kedua HR-V ini juga sangat jauh berbeza berbanding model lamanya dari sudut rekaan, walaupun dengan beberapa pendekatan masih dikekalkan, seperti rekaan pemegang pintu belakang yang tersembunyi. HR-V bari ini juga hadir dengan rekaan yang lebih bersegi dengan garis lurus, nampak lebih tinggi dan ranggi berbanding yang lama.

Bahagian hud lebih rata dan panjang, menjadikan “hidung”nya lebih menonjol. Pandangan sisinya juga lebih rata dan ringkas. Di depan, tiada lagi rekaan Solid Wing dengan gril lama, dan kini diberikan perincian “denyutan” pada bahagian gril bawah RS. Di belakang, lampu LED dengan kelebaran penuh menyuntik imej premium untuk SUV ini.

HR-V baru ini nampak lebih besar berbanding yang lama. Dengan 4,385 mm panjang (varian S tanpa bampar sporty ialah 4,330 mm panjang), HR-V baru ini hanya 39 mm lebih panjang daripada RS sebelum ini. Lebar 1,790 mm dan jarak antara roda 2,610 mm pula tidak berubah. Mungkin jarak kelegaan tanahnya — 196 mm, 26 mm lebih tinggi — yang memberikan kesan.

Di dalam juga lebih luas, dengan Honda mendakwa +35 mm ruang kaki dan lutut untuk penumpang belakang, yang juga menikmati penyandar kerusi yang dua-darjah lebih condong untuk lebih keselesaan. Di depan, tahap penglihatan pemandu kini 10 mm lebih tinggi berbanding dahulu. Rekaan baru papan pemukanya tiada lagi pendekatan sporty dengan rasa kokpit yang “menyelubungi”; kini rasanya lebih terbuka dengan elemen mendatar.

HR-V ini juga menjadi yang pertama datang dengan sistem sebaran udara dengan adanya corong di bahagian sisi. Apa yang dilakukan adalah, sekiranya pengguna tidak mahu udara ke arah mereka secara terus, tetapi masih mahukan sedikit pengudaraan, pulas tombol berkenaan dan udara akan dialirkan dari bukaan kecil bentuk L terbalik di bucu.

Honda HR-V 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, RS e:HEV hibrid; harga dari RM114,800

Kelengkapan lain, paling utama adalah tentang Honda Sensing; ia kini ditawarkan sebagai standard untuk semua varian. Enam beg udara dari varian E ke atas, LaneWatch dari V ke atas dan RS menerima kit eksklusif seperti pintu barangan berkuasa, pengilap automatik dan kawalan pendingin automatik dua-zon. RS dibezakan secara visual dengan perincian hitam berkilat pada bahagian bawah badannya serta gril kemasan krom.

Lima pilihan warna yang sama akan ditawarkan — Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Ignite Red Metallic, Meteoroid Grey Metallic dan Crystal Black Pearl. Setakat pelancarannya, Honda Malaysia sudah menerima sekitar 20,000 tempahan, dan tempoh menunggu bagi pelanggan untuk mendapatkan kenderaan mereka ialah dalam tempoh 12 bulan. Apa pandangan anda tentang SUV terbaru Honda ini?

Perincian spesifikasi bagi setiap varian adalah seperti berikut:

Honda HR-V 2022 dilancarkan di Malaysia — 1.5L NA, 1.5L Turbo, RS e:HEV hibrid; harga dari RM114,800

Honda HR-V 1.5 S 2022
Ciri standard:

Mekanikal

  • Enjin 1.5 litre DOHC i-VTEC
  • 1,498 cc NA empat-silinder petrol
  • 121 PS pada 6,600 rpm, 145 Nm pada 4,300 rpm
  • Continuously variable transmission (CVT)
  • Pacuan roda depan
  • Mod pemanduan Econ dan Normal
  • Brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold
  • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
  • Cakera brek berliang (depan), cakera tertutup (belakang)

Luaran

  • Lampu reflektor LED automatic
  • Lampu belakang kombinasi LED
  • Gril palang hitam berkilat
  • Pelindung badan plastik tanpa cat
  • Kemasan bawah hitam berkilat
  • Rim 17-inci enam-jejari dua tona
  • Muncung ekzos tunggal dan terselindung
  • Cermin sisi lipatan berkuasa
  • Sistem tanpa kunci dengan ciri kunci automatik ketika jauh

Dalaman

  • Butang Push Start
  • Papan pemuka material sentuhan lembut
  • Stereng multifungsi Urethane
  • Larasan stereng tinggi/rendah dan rapat/jauh
  • Kluster instrumen analogue dengan paparan multi-info
  • Tingkap kuasa untuk pemandu dengan Auto naik/turun
  • Tombol gear Urethane
  • Kerusi balutan fabrik hitam
  • Kerusi depan larasan manual
  • Kerusi belakang Ultra Seat dengan nisbah lipatan 60:40
  • Kawalan pendingin zon tunggal dengan corong belakang
  • Head unit 2-DIN lapan-inci skrin sentuh dengan Apple CarPlay dan Android Auto
  • Empat pembesar suara
  • Dua slot USB di depan
  • Empat sensor parkir
  • Kamera undur
  • Penutup ruang barangan boleh lipat
  • Tayar ganti saiz penuh

Keselamatan

  • Empat beg udara (depan dan sisi)
  • ISOFIX belakang dengan cagak atas
  • Bantuan pemandu Honda Sensing
  • AEB
  • Kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go
  • Bantuan ke tengah lorong
  • Bantuan mengekalkan lorong
  • Lampu tinggi automatik
  • ABS dengan EBD dan bantuan brek
  • Kawalan kestabilan
  • Agile Handling Assist (AHA)
  • Bantuan mula mendaki
  • Kawalan menuruni bukit
  • Lampu isyarat berhenti kecemasan
  • Peringatan tali keledar untuk semua kerusi
  • Peringatan kerusi belakang

Honda HR-V 1.5 Turbo E 2022
Tambahan:

Mekanikal

  • Enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo
  • 1,498 cc turbocas empat-silinder petrol
  • 181 PS pada 6,600 rpm, 240 Nm dari 1,700 dan 4,500 rpm
  • Pedal penukar gear di stereng
  • Mod pemanduan Econ, Normal dan Sport

Luaran

  • Lampu kabus depan LED
  • Gril petak hitam berkilat
  • Bodykit depan dan belakang
  • Grafik “denyutan” depan warna perak
  • Rim aloi 17-inci enam jejari kelabu
  • Muncung ekzos berkembar
  • Penghidup enjin jarak jauh

Dalaman

  • Kemasan papan pemuka warna perak
  • Kluster instrumen separa digital dengan paparan tujuh-inci
  • Perehat lengan belakang
  • Dua slot USB di belakang

Keselamatan

  • Enam beg udara

Honda HR-V 1.5 Turbo V 2022
Tambahan:

Mekanikal

  • Stereng nisbah boleh ubah

Luaran

  • Lampu isyarat depan LED
  • Rim 18-inci sepuluh jejari aloi kelabu

Dalaman

  • Bahagian pintu permukaan lembut
  • Keliling suis tingkap hitam berkilat
  • Stereng balutan kulit
  • Tombol gear balutan kulit
  • Kerusi balutan kulit hitam
  • Kerusi pemandu larasan kuasa lapan-arah
  • Dua cermin hias dengan lampu
  • Lapan pembesar suara
  • Servis Honda Connect

Keselamatan

  • Kamera titik buta LaneWatch

Honda HR-V 1.5 RS 2022
Tambahan:

Mekanikal

  • Motor elektrik di depan
  • 131 PS, 253 Nm
  • Enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC
  • 1,498 cc NA kitaran Atkinson empat-silinder petrol
  • 105 PS dari 6,000 hingga 6,400 rpm, 127 Nm dari 4,500 hingga 5,000 rpm
  • Transmisi kelajuan tunggal dengan klac pengunci

Luaran

  • Gril petak krom
  • Pelindung badan hitam berkilat
  • Grafik “denyutan” merah
  • Kemasan krom di bawah
  • Muncung ekzos tunggal terselindung

Interior

  • Pengilap automatik
  • Kawalan pendingin automatik dua zon
  • Kit baik pulih tayar
  • Pintu ruang belakang bebas kendalian tangan

Honda HR-V Turbo E 2022

Honda HR-V Turbo V 2022

Honda HR-V RS 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required