Nilai jualan semula kereta elektrik lebih baik dari model enjin biasa di Malaysia – Mercedes-Benz Malaysia

Nilai jualan semula kereta elektrik lebih baik dari model enjin biasa di Malaysia – Mercedes-Benz Malaysia

Kita sudah tengok bagaimana rakyat Malaysia yang ‘takut’ terhadap teknologi hibrid sebelum ini. Model-model dengan teknologi gabungan enjin petrol dan motor elektrik berkenaan didakwa bakal mendatangkan masalah seiring dengan usianya, terutamanya membabitkan bateri untuk sistem hibrid tersebut, dan ini seterusnya menyebabkan nilai jualan semula (RV) model-model hibrid menjadi lebih rendah berbanding model-model dengan enjin pembakaran dalaman biasa.

Sejak kerajaan mengumumkan insentif pengecualian duti dan cukai untuk model-model elektrik penuh (EV), nampaknya pasaran untuk model sedemikian dilihat semakin meriah. Sejak dari awal tahun ini, pelbagai model EV dari pelbagai jenama telah dilancarkan pada pasaran tempatan. Malah ada sesetengah jenama, jualan EV mereka dilihat sangat memberangsangkan dengan jumlah tempahan melebihi dari jangkaan awal.

Tapi bagaimana pula dengan RV untuk model-model EV ini? Adakah pandangan skeptikal yang sama dilabelkan seperti model-model hibrid sebelumnya? Antara yang aktif melancarkan model EV pada pasaran tempatan adalah Mercedes-Benz Malaysia (MBM). Selain dari mengedar kenderaan dengan jenama mewah tersebut di sini, MBM juga ada menawarkan skim pembiayaan pembelian menerusi pakej Agility Financing.

Untuk menawarkan pakej pembiayaan tersebut, mereka perlu membuat jangkaan berkenaan nilai untuk kereta-kereta tersebut dalam masa tiga dan lima tahun akan datang. Untuk kereta-kereta biasa dengan enjin pembakaran dalaman, proses membuat jangkaan nilai ini agak mudah kerana ia berpandukan model-model sebelumnya.

Jadi bagaimana pula untuk membuat jangkaan untuk model EV seperti EQA dan EQS yang baru dilancarkan tahun ini kerana mereka belum mempunyai data berkenaan trend nilai bagi model-model sedemikian? Paultan.org mengajukan soalan ini kepada ketua jualan dan pemasaran MBM Micheal Jopp dan juga CEO syarikat tersebut, Sagree Sardien ketika majlis pelancaran EQS/EQB/EQC minggu lalu.

Apa yang mengejutkan, MBM menyatakan bahawa nilai jualan semula untuk model-model EV adalah lebih tinggi dari model-model dengan enjin pembakaran dalaman biasa.

Nilai jualan semula kereta elektrik lebih baik dari model enjin biasa di Malaysia – Mercedes-Benz Malaysia

Micheal Jopp

“Kami mengambil pendekatan yang sama seperti yang kami buat terhadap model-model enjin pembakaran dalaman, apa yang kami lihat secara global adalah nilai jualan semula untuk EV kadang-kala secara signifikant lebih tinggi berbanding kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman, dan ini turut menjadi pendekatan kami di Malaysia. Penawaran Agility akan menjadi lebih menarik berbanding model pembakaran dalaman yang sama jadi kami sebenarnya menjangkakan nilai sisa yang lebih tinggi,” kata Jopp.

Beliau juga tidak merasakan bahawa apa yang dihadapi oleh model-model hibrid dan PHEV berkenaan nilai jualan semula adalah sama seperti EV.

“Pertama sekali, ia berkenaan kenderaan, teknologi. Yang paling penting adalah fungsi penawaran dan permintaan. Pada saat ini kami meramalkan bahawa permintaan akan menjadi lebih tinggi berbanding penawaran untuk EV, di mana ia bersifat global dan mungkin mampan untuk tempoh masa yang lama. Ini akan menyebabkan nilai jualan semula yang lebih tinggi,” katanya.

Sardien pula menyifatkan jangkaan nilai jualan semula yang tinggi untuk EV oleh MBM adalah kerana jenama berkenaan sangat mempercayai produk-produk mereka.

Nilai jualan semula kereta elektrik lebih baik dari model enjin biasa di Malaysia – Mercedes-Benz Malaysia

Sagree Sardien

“Nilai jualan semula adalah sentiasa berkisar jangkaan dan ramalan. Tetapi sebagai jenama, kami perlu percaya akan EV kami, dan sebab itulah mengapa kami agak yakin dengan nilai jualan semula yang kami letak. Kami cukup berani untuk menyatakan, tengok, kami mahu nilai jualan semula yang tinggi kerana kami yakin bahawa kami mempunyai teknologi yang hebat, kenderaan yang hebat, kami mempunyai permintaan terhadap aset kami.

“Dan dengan gabungan yang betul terhadap penawaran dan permintaan seperti yang disebut oleh Micheal akan semestinya memberikan kami nilai jualan semula yang optimum. Sudah tentu, ujian akan dibuat di mana-mana pasaran, tetapi petunjuk awal sudah pun memperlihatkan pasaran kami di Eropah menunjukkan nilai jualan semula adalah stabil jika tidak lebih baik (dari model enjin pembakaran dalaman),” katanya.

Apa pun yang disebut oleh Mercedes-Benz ini, kita masih perlu lihat pada masa hadapan. Ini kerana kadang kala persepsi pelanggan di Malaysia ini mungkin unik dan tidak sama dengan pasaran lain. Buat masa sekarang, dengan insentif pengecualian cukai yang ditawarkan oleh kerajaan menyebabkan model-model EV ini dijual dengan harga yang hampir sama, dan ada yang lebih murah berbanding versi dengan enjin pembakaran dalaman.

Contohnya, sedan mewah Mercedes-Benz EQS dijual pada harga bermula RM698,888, berbanding ‘saudaranya’ yang dijana oleh unit penggerak plug-in hibrid Mercedes-Benz S-Class yang dijual pada harga bermula RM708,888.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required