Vixmo Zero – kereta elektrik dengan teknologi autonomi dari Indonesia, berasaskan Proton Savvy

Vixmo Zero – kereta elektrik dengan teknologi autonomi dari Indonesia, berasaskan Proton Savvy

Syarikat teknologi yang berasal dari Indonesia, Vixmo, mendedahkan prototaip teknologi pemanduan autonomi mereka di Periklindo Electric Vehicle Show (PEVS) 2022 menerusi sebuah kereta yang digelar Vixmo Zero. Nampak macam pernah tengok rupa kereta konsep ini kan? Ya, ia diasaskan dari Proton Savvy!

Bagi membolehkan sistem autonomi mengawal kereta ini, ia tidak lagi menggunakan enjin petrol asal, sebaliknya diubah kepada unit penggerak elektrik sepenuhnya. Oleh itu Vixmo memadankan motor elektrik Motenergy ME1616, menghasilkan 25 kW (33.5 hp) dengan tork puncak 120 Nm yang diletakkan pada ruang enjin asal, bagi memacu roda hadapan. Ini membolehkan Savvy elektrik tersebut mencapai kelajuan maksima 120 km/j.

Manakala untuk bateri, Vixmo Zero ini dibekalkan dengan sel lithium ion 100.8 V 220 Ah 22 kWj, bagi membolehkan ia menawarkan jarak gerak sejauh 150 km. Dengan pengecas AC Type 1 6.6 kW, bateri berkenaan boleh dicas penuh dalam masa lapan hingga sembilan jam.

Vixmo Zero – kereta elektrik dengan teknologi autonomi dari Indonesia, berasaskan Proton Savvy

Oleh kerana tiada lagi enjin yang memutarkan pam hidraulik untuk sistem stereng berkuasa, Vixmo Zero ini menerima rak dan pinan baharu yang menawarkan sistem stereng berkuasa elektrik. Ia juga kini menerima kit brek lebih besar di hadapan dan brek cakera di belakang yang turut memberikan fungsi brek parkir elektronik.

Rupa asas luaran Vixmo Zero ini masih lagi menampakkan bahawa ia sebuah Proton Savvy. Namun Vixmo memberikan kit penggayaan yang lebih tersendiri menampilkan gril hadapan tanpa liang udara, bampar hadapan dan belakang yang direka semula, skirt sisi lebih labuh, lampu hadapan dengan grafik dalam baharu, malah kesemua fender hatchback kompak ini telah dilebarkan lagi.

Ia juga hadir dengan set rim 17-inci, dan badan kereta ini direndahkan lagi dengan pemadanan set suspensi boleh laras dengan 12 tahap larasan penyerap hentak.

Vixmo Zero – kereta elektrik dengan teknologi autonomi dari Indonesia, berasaskan Proton Savvy

Untuk sistem pemanduan autonomi pula, bahagian atas bumbung Vixmo Zero ini dilengkapi dengan lapan kamera, dua penderia Lidar serta satu unit sistem navigasi satelit global (GNSS). Apa yang menarik, Vixmo telah pun membuka pra-tempahan untuk Vixmo Zero ini pada laman web rasmi mereka. Walau bagaimanapun pra-tempahan yang dibuka itu tidak diserta dengan sistem pemanduan autonomi, dan sekadar sebuah Savvy yang diubah kepada EV serta diberikan kit pengayaan, brek, stereng, roda dan suspensi unik sebagai sebuah Vixmo Zero.

Ini kerana sistem pemanduan autonomi yang dipadankan tersebut sebenarnya masih belum dilengkapkan kerana pelbagai kekangan masalah, termasuk keadaan jalan dan cahaya di Indonesia serta dana, lapor Moladin.com.

“Proses labeling objek merupakan yang palin susah. Ini kerana jalan raya di Indonesia ada terlalu banyak objek, tidak seperti di luar negara yang tidak ada troli, keranda mayat, lecak, semua objek ini kita perlu lakukan labeling,” kata jurutera sistem autonomi Vixmo, Januar Kailani kepada portal berita Indonesia berkenaan.

Januar turut menambah bahawa keadaan cahaya di Indonesia yang berada di garis khatulistiwa juga menimbulkan masalah buat mereka. Ia adalah kerana perbezaan cahaya antara waktu yang sangat ekstrem, contohnya cahaya ketika pukul 12 tengah hari dan empat petang adalah sangat berbeza.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required