MSF Touge 2022 Bukit Putus – Yoong catat masa terpantas 1 minit 50.376 saat dengan Lancer Evo X!

MSF Touge 2022 Bukit Putus – Yoong catat masa terpantas 1 minit 50.376 saat dengan Lancer Evo X!

Selepas tertangguh lebih dari dua tahun, akhirnya MSF Touge, iaitu perlumbaan dalam disiplin Hillclimb di jalan raya awam berjaya dilangsungkan dengan jayanya di jalan Bukit Putus, Negeri Sembilan pada 7 Ogos lalu. Acara berkenaan berjaya mengumpulkan sejumlah 46 buah kereta untuk berentap mencatatkan masa terpantas bagi mendaki laluan berliku dalam jarak 2.4 km berkenaan.

Pelbagai jenis kereta yang turut serta dalam perlumbaan Stage 1 di Bukit Putus ini, dari sebuah Mazda 2 berwarna Soul Red yang standard kilang, sehingga “monster” seperti Nissan Skyline R32 dan Sylvia S15 bertanding dalam pelbagai kategori yang disediakan.

Variasi barisan pelumba juga tidak kurang meriahnya – dari pelumba-pelumba amatur peringkat akar umbi, drifter, malah ada juga pelumba profesional yang pernah bertanding di peringkat antarabangsa.

Bagi kategori Road Cars 1600, ia diungguli oleh Tan Ten Cek yang memandu Honda Fit RS dengan catatan masa terbaik 1 minit 57.027 saat. Walaupun ini merupakan kategori untuk kereta jalan raya dengan enjin berkapasiti di bawah 1.6 liter, Honda Fit yang dipandu oleh Tan berkenaan mencatatkan masa lebih baik dari sebahagian kereta sport sebenar seperti Toyota 86 ZN6 dan Nissan Sylvia. Untuk kategori Road Cars 2000 pula, ia dimenangi oleh Ahmad Ikram Ajmain yang memandu Toyota 86 dengan catatan masa 1 minit 53.913 saat.

Zamil Syaheer yang memandu ‘The Joker’ Nissan Sylvia S15 berwarna ungu lengkap dengan lampu neon “kedai Tom Yam” pada bawah badan kereta tersebut pula berjaya menjadi juara untuk kategori Super Street Limited, dengan catatan masa terbaik 1 minit 57.206 saat.

Manakala juara perlumbaan Japan Super Taikyu Endurance 2009 dari Johor, Farique Hairuman berjaya menjadi juara untuk kategori Ultimate 1600. Farique memandu Toyota AE86 berwarna merah dengan enjin 4A-GE 20V pasukan Wan Aji Garage (W.A.G), tiba di garis penamat dengan catatan masa 1 minit 56.040 saat.

MFS Touge kali ini juga menyediakan kategori khas untuk Proton Saga generasi pertama iaitu Saga Cup, di mana kategori ini dimenangi oleh Rahmat Rizuawan yang memandu Saga LMST dengan catatan masa terbaik 2 minit 23.896 saat.

Bintang pada MSF Touge kali ini adalah Ee Yoong Chern – Mitsubishi Lancer Evolution X Final Edition yang dipandunya bukan sahaja mengungguli kategori Ultimate Open, malah catatan masa terbaik 1 minit 50.376 saat yang dibuat adalah catatan paling pantas direkodkan pada hari perlumbaan berkenaan. Yoong turut memenangi kategori Tuner Production dengan memandu Mazda RX-8, membuat catatan masa terbaik 1 minit 54.918 saat.

Acara kali ini turut disertai oleh beberapa orang drifter yang datang bukan untuk mencatatkan masa terpantas, tetapi sekadar untuk “menikmati” laluan touge secara “halal” dan selamat. Antaranya adalah drifter/YouTuber dari Sarawak iaitu Hee Wei Seng, yang melakukan aksi drift untuk setiap selekoh di sepanjang laluan MSF Touge Bukit Putus ini tanpa henti dengan memandu Nissan Skyline R32 yang dijana oleh enjin V8!

Sesi kali ini juga diserikan dengan tiga orang pemandu wanita, iaitu Vera Teh yang memandu Toyota Yaris serta Azura dan Jane Cheah masing-masing memandu Toyota 86 ZN6.

Dengan kejayaan penganjuran MSF Touge Hillclimb buat kali pertama ini, MSF kini sedang melihat peluang untuk kembali menganjurkan acara serupa pada masa akan datang.

“Kami percaya bahawa sebagai penganjur, dan juga sebagai pasukan operasi serta pasukan-pasukan yang bertanding serta para pemandu telah membuktikan bahawa kita mampu mengadakan acara perlumbaan hillclimb dengan selamat dan dalam keadaan yang terkawal. Kami berharap untuk berkembang ke laluan-laluan jalan raya lain yang hampir sama di seluruh negara, dan berharap untuk disokong oleh pihak berkuasa tempatan dan badan-badan penyelia bagi memastikan sukan perlumbaan yang menyeronokkan dan mudah untuk disertai ini dapat disebarkan ke bahagian lain dalam Malaysia,” kata pengasas dan prinsipal MSF, Adian Yein.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required