PANDU UJI: Perodua Alza 1.5L AV 2022 — MPV senang pandu macam kereta, lebih berbaloi daripada Myvi?

PANDU UJI: Perodua Alza 1.5L AV 2022 — MPV senang pandu macam kereta, lebih berbaloi daripada Myvi?

Untuk memandu Perodua Alza 2022 dalam sebuah perjalanan yang mencerminkan penggunaan sebenar sebahagian besar pemiliknya memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kemampuan MPV generasi kedua keluaran syarikat tempatan ini. Awal Ogos, kami berkesempatan ikut serta dalam sesi pandu uji MPV berkenaan, dengan jarak lebih 600 km dari Rawang menuju Kota Bharu (KB), Kelantan bagi mencuba sendiri Perodua Alza 2022 yang baru dilancarkan Julai lalu.

Sebagai sebuah MPV tujuh-tempat duduk dengan tumpuan penggunaan adalah untuk keluarga, sudah tentu perjalanan jauh seperti ini menjadi satu daripada manifestasi dan kayu ukur sebenar terhadap apa yang mampu diberikan oleh MPV kompak ini, apa lagi perjalanan menuju ke KB yang meliputi jarak cukup jauh untuk membolehkan kami merasai dan memberi perhatian kepada segenap aspeknya di atas jalan raya.

Kami bertolak dari ibu pejabat Perodua di Sungai Choh, Rawang sebelah pagi, dalam keadaan trafik yang sederhana, dengan sebuah Perodua Alza 1.5 AV, spesifikasi yang paling tinggi. Di dalam kereta, ada tiga orang dewasa dengan bebera beg pakaian — kami hanya memanfaatkan lima-tempat duduk sahaja, dengan kerusi barisan ketiga dibiar terlipat untuk memberi ruang memuatkan barangan yang dibawa sekali. Sudah tentu ini bukanlah situasi yang paling optimum untuk melihat kapasitinya yang sebenar sebagai kenderaan kegunaan keluarga, tetapi cukup untuk menilai beberapa hal penting padanya.

Saya meluangkan masa dalam sesi pertama pemanduan dengan duduk di kerusi penumpang belakang terlebih dahulu. Dengan kerusi barisan kedua ditolak laras ke kedudukannya yang paling belakang, ruang kaki tersedia sangatlah luas. Rekaan kerusinya ringkas (balutan kulit campuran dengan kemasan merah), yang tetap memberi sokongan terhadap badan daripada mudah tergelungsur terutama ketika kereta dibelok. Lantainya pula hampir rata, memudahkan sesiapa yang duduk di tengah; lantai yang agak rendah ini juga memudahkan urusan keluar masuk ke kabin, bahkan dalam keadaan yang lebih memudahkan berbanding sebahagian kereta sedan.

PANDU UJI: Perodua Alza 1.5L AV 2022 — MPV senang pandu macam kereta, lebih berbaloi daripada Myvi?

Dalam keadaan seperti itu, memang tidak ada apa yang akan membuatkan penumpang di barisan kedua berada dalam keadaan tidak selesa. Semuanya lapang dan menyenangkan. Saya bahkan sempat membuka laptop dan membuat sedikit kerja tanpa terlalu terganggu dengan apa yang diberikan oleh Alza 2022 dalam keadaan itu. Di bahagian siling pula ada ciri baru yang diperkenalkan, yang tiada pada Alza lama; dua corong besar untuk penumpang kiri dan kanan, dengan tombol kawalan kelajuan penghembus angin sejuk untuk mereka yang duduk di belakang.

Walaupun MPV ini masih dalam binaan yang kompak dan udara dari pendingin depan pada kebanyakan masa sudah memadai untuk dirasakan paling tidak oleh mereka yang berada di barisan kedua, ciri ini menjadikan pengalaman untuk berada di dalam kabinnya lebih nyaman, terutama untuk mereka yang di barisan ketiga — andaiannya, di belakang sekali itu tentulah akan dihuni oleh anak kecil, walaupun ruang yang ada cukup untuk memuatkan dua orang dewasa.

Duduk sebagai penumpang di belakang, keseluruhan yang dirasakan adalah selesaan yang optimum; tidak begitu terasa alunan permukaan jalan sekiranya ada yang tidak terlalu rata, begitu juga dengan olengan badan yang boleh disifatkan sangat minimum. Ini boleh difahami, kerana Alza 2022 adalah sebuah MPV yang kedudukannya berada pada paras yang rendah daripada permukaan jalan — dengan sistem suspensi sama seperti kereta biasa.

Perehat kepala pula memberikan sokongan yang baik sekiranya anda ingin meletakkan kepada padanya, dengan larasan turun-naik yang mudah dan lekuk yang menampung pergerakan kepala dengan lembut dan baik. Dalam keadaan ini, jika penumpang ingin berehat sebentar dan melelapkan mata, itu tidak menjadi masalah dan boleh dilakukan dengan mudah — ketiga-tiga kami tempoh hari juga sempat mencuri masa untuk tujuan ini dan berehat sebentar, ketika meredah jalan panjang seharian menuju KB.

PANDU UJI: Perodua Alza 1.5L AV 2022 — MPV senang pandu macam kereta, lebih berbaloi daripada Myvi?

Tentang ruang yang tersedia, elok juga kita lihat ukuran dimensi Alza terbaru dan perbezaannya dengan model lama. Alza generasi kedua ini berukuran 4,425 mm panjang dan 1,730 mm lebar — ini bermakna model baru hadir dengan 205 mm lebih panjang dan 35 mm lebih lebar berbanding versi lamanya — walaupun jarak antara roda masih kekal sama dengan 2,750 mm. Dan, ia juga tampil lebih rendah dengan 1,670 mm (untuk varian H dan AV kerana guna rim 16-inci) — ini lebih 50 mm berbanding model lama, tetapi masih 60 mm lebih rendah jika dibandingkan dengan Mitsubishi Xpander, sekadar contoh.

Kedudukan rendah Alza 2022 ini disumbangkan oleh jarak kelegaan tanahnya dengan ukuran 160 mm (150 mm bagi varian X, manakala Alza lama dengan 155 mm). Jika dibandingkan dengan “kembarnya” Toyota Veloz untuk pasaran tempatan, MPV sama yang menggunakan lencana Toyota itu memiliki 190 mm jarak kelegaan tanah, iaitu 30 mm lebih tinggi daripada Alza 2022. Jika dibandingkan dengan Mitsubishi Xpander pula, versi facelift terbarunya memiliki jarak dari tanah setinggi 225 mm. Misalnya, jika ada yang inginkan MPV dengan kedudukan lebih tinggi keluaran Perodua, pilihan yang ada tentunya Aruz, dengan jarak 220 mm.

Semua angka ini semestinya mempengaruhi bukan hanya ketika kita duduk di dalam kabin, sebaliknya kelihatan sangat jelas juga pada rekaan luarannya, terutama bila membandingkannya dengan model lama. Penampilan luar Perodua Alza 2022 secara umumnya nampak lebih menarik dengan imej yang lebih sporty dan agresif.

Wajah depan misalnya lebih maskulin dan menonjol, dengan rekaan gril yang besar, rekaan bampar yang lebih banyak garis berseginya serta lampu utama yang tidak terlalu besar tetapi nampak kemas. Untuk tampil lebih menarik, kit aksesori GearUp kali ini yang dibikin untuk Alza juga memainkan peranan yang cukup baik untuk mengangkat lagi rupa paras MPV ini sebaik sahaja keluar dari kilang.

PANDU UJI: Perodua Alza 1.5L AV 2022 — MPV senang pandu macam kereta, lebih berbaloi daripada Myvi?

Antara sentuhan yang menyerikan bahagian sisi pula adalah jalur krom (seperti yang dapat dilihat pada varian AV yang kami pandu), yang berada di atas dan di sepanjang bahagian kaki tingkapnya, dengan rekaan yang semakin tebal di bahagian belakang. Rekaan belakang juga tidak ada apa yang ingin dirungutkan; lampu kombinasi LED dengan garis lekuk serba ringkas dan sedikit sibuk di bahagian bampar melengkapi imej Alza 2022 .

Ia memang sebuah MPV, untuk kegunaan yang bermacam-macam. Tetapi kedudukannya yang rendah telah menyumbang kepada imej sporty ini, sehinggakan bila semakin lama merenung rekaannya dan meluangkan masa di dalam kabinnya, ia terasa lebih cenderung seperti sebuah wagon; kedudukan bumbung yang juga rendah-rata hingga ke belakang dan ruang ketika kerusi barisan ketiga direbahkan memang memberi banyak kelebihan kepadanya.

Dan satu lagi kelebihan Perodua Alza 2022 ini adalah kebolehannya untuk menyediakan ruang yang rata ketika penyandar kerusi barisan kedua direbahkan dengan konfigurasi ke belakang — menyediakan satu pelantar rata untuk barangan, atau bahkan, pasti ada yang akan memanfaatkannya sebagai tempat rehat/tidur untuk tujuan rekreasi dan sebagainya. Dengan Alza yang lama, kita selalu tengok perkara ini dilakukan. Kali ini, ia jadi lebih senang dan telah difikirkan dalam rekaan asal bagi model generasi kedua ini untuk memudahkan pengguna.

Cuma perlu juga diingatkan, tetapan kerusi seperti itu hanya boleh digunakan ketika kereta diparkir dan tidak bergerak. Jangan sesekali menggunakannya dalam perjalanan ketika kenderaan bergerak, atas faktor keselamatan penumpang sekiranya berlaku apa-apa. Dengan kerusi barisan ketiga dinaikkan, ruang yang tersedia adalah 137 liter, dan ini boleh meningkat kepada 498 liter jika barisan ketiga berkenaan dilipat.

PANDU UJI: Perodua Alza 1.5L AV 2022 — MPV senang pandu macam kereta, lebih berbaloi daripada Myvi?

Lagi perkara yang mungkin tidak terlalu penting tetapi sangat berguna yang ada pada Alza 2022 ini ialah poket-poket atau ruang-ruang kecil yang banyak dan sebenarnya mampu memuatkan banyak benda — misalnya botol air minuman — dalam ruang kabin. Sebagai contoh, poket pada panel pintu belakang boleh memuatkan hingga lima botol dan air minuman dalam tin dalam satu masa. Sebagai sebuah MPV yang pastinya akan digunakan untuk keperluan keluarga, hal-hal seperti ini sentiasa menjadi berguna.

Saya mengambil alih stereng dan bertindak sebagai pemandu dalam perjalanan dari Kuantan ke Kemaman, menggunakan jalan lama dan bukannya lebuhraya. Keadaan itu membolehkan beberapa perkara dari aspek pemanduan diperhatikan, dalam keadaan sebenar penggunaan atas jalan raya di sini tentunya. Paling utama tentulah prestasi enjinnya, unit 1.5L Dual VVT-i dengan Eco Idle empat-silinder petrol yang menghasilkan 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm.

Dan dengan enjin ini, agak sukar untuk tidak membandingkannya dengan Myvi, walaupun antara keduanya ada melibatkan perbezaan output sedikit (Alza lebih 3 hp dan 1 Nm, dengan Perodua memaklumkan bahawa kecekapan penggunaan minyak 40% lebih baik berbanding versi sebelumnya). Melengkapi paduan sistem janaan ini adalah kotak gear D-CVT yang pertama kali diperkenalkan untuk SUV Ativa sebelum ini dan kemudiannya diberikan juga kepada Myvi dalam versi facelift yang terkini.

Dengan penambahbaikan pada enjin yang sama ini, serta rekaan badan dan kapasiti penumpang yang lebih ramai berbanding Myvi, mungkin ada yang tertanya-tanya tentang kemampuan Perodua Alza 2022 dari sudut prestasi. Setakat apa yang sempat diperhatikan, ketika melalui jalan mendaki berbukit dari Batang Kali menuju Goh Tong Jaya tempoh hari, Alza 2022 ini tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk dikerah tenaganya di laluan seperti itu.

Maklum balas pendikit sampai segera untuk menurun atau menaikkan gear, memberikan rasa yang sangat lancar. Tentang kuasa, tak pula dirasakan MPV ini terbeban atau kurang daya untuk mendapatkan kuasa yang diperlukan dalam keadaan yang pelbagai. Kendaliannya secara keseluruhan juga boleh dikatakan baik, tanpa ada situasi yang mana ia dirasakan susah dikawal hingga membuatkan pemandu “gelabah”.

Oleh kerana Alza 2022 ini rendah, dan sistem janaan yang dihasilkan lebih bertenaga berbanding Myvi, tidak salah untuk membayangkannya sebagai sebuah Myvi yang lebih besar — dengan kelebihan ruang dan pada masa yang sama boleh juga memberikan keseronokan memandu. Sedikit lebih lebar bermakna MPV ini juga lebih stabil ketika di selekoh, dan pada setiap masa ia boleh dikendalikan dengan begitu tenang dan tepat input sterengnya.

Tambah satu kelebihan lain untuk Alza 2022 ini ialah butang DRIVE yang terletak di kanan stereng, tempat di mana butang PWR diletakkan pada Ativa. Ini memudahkan lagi pemandu menukar mod pemanduan jika perlu, misalnya ketika masuk ke kawasan bandar dan ingin menukar mod daripada PWR kepada NORMAL atau ECO.

Ketika di lebuhraya pula, Alza tidak kekok untuk dipandu dengan laju. Melalui LPT2 dari Kemaman menuju Kuala Terengganu, keselesaan serta keyakinan untuk berada di dalam Alza berhadapan dengan permukaan jalan yang beralun serta kelajuan tinggi sedikit pun tidak membuatkan mereka yang berada di dalam berasa khuatir.

Dalam kelajuan tinggi — mungkin bunyi tayar dan angin semakin ketara kedengaran — Alza tetap meluncur dengan tegap. Talaan suspensi juga memberi kompromi sangat baik antara kekerasan yang diperlukan ketika memasuki selekoh dan dalam masa tetap memberikan kelembutan ketika cruising untuk mengekalkan keselesaan optimum bagi semua penumpang di dalam kabin.

Tentang kadar penggunaan minyak, purata yang sempat diperhatikan di beberapa lokasi dalam perjalanan panjang itu menunjukkan Alza 2022 memberikan bacaan sekitar 13-14 km/l, meliputi laluan dan cara pemanduan sebenar dalam pelbagai situasi seperti yang dijelaskan. Ini merupakan bacaan realistik yang agak bagus juga dalam penggunaan biasa, walaupun Perodua mendakwa MPV ini mampu memberikan bacaan 22 km/l di atas kertas.

Dengan tangki minyak tidaklah besar mana, iaitu 43 liter sahaja, Alza 2022 mampu memberikan penjimatan yang baik sebagai kenderaan keluarga. Sepanjang perjalanan sehala itu, kami hanya mengisi minyak sebanyak dua kali, itupun bukan kerana takat minyak menunjukkan tahap yang sudah hampir habis, melainkan kerana hendak menggunakan kad pra-bayar yang disediakan.

Dari sisi lain, Alza 2022 ketika ini nampaknya telah mengambil alih “title” Ativa sebagai model “flagship” Perodua kerana ia dilengkapi dengan ciri terbaik yang ada pada mana-mana model Perodua buat masa ini. Satu contoh kecil adalah skrin infotainmennya, lebih cantik dan responsif berbanding yang ada pada Ativa.

PANDU UJI: Perodua Alza 1.5L AV 2022 — MPV senang pandu macam kereta, lebih berbaloi daripada Myvi?

Cuma kelemahannya agak sukar untuk mendapatkan sambungan Android Auto melalui wayar dengan stabil; ia kerap terputus-putus sambungannya dan melecehkan penggunaan. Untuk Apple CarPlay bagaimanapun masih belum ada, dan akan menyusul kemudian mungkin, selepas selesai proses pensijilan daripada pembekal. Tidak ketinggalan, ciri brek parkir elektronik (EPB) yang menggantikan brek parkir biasa. Untuk sebuah MPV mampu milik, semua ini boleh dikira sebagai ciri “mewah”.

Paling menyerlah tentang Alza 2022 tentulah aspek keselamatannya, terutama bagi varian AV yang dicuba ini. Pertama, semua varian Alza 2022 datang dengan ciri Advanced Safety Assist (ASA). Ini termasuklah Pre-collision Warning (PCW, kenderaan 4-120 km/j, pejalan kaki 4-60 km/j), Pre-collision Braking (PCB atau AEB, kenderaan 4-120 km/j, pejalan kaki 4-60 km/j), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC). Varian X yang paling asas juga lengkap dengan Lane Departure Warning and Prevention serta enam beg udara.

Untuk AV pula ada pertambahan ciri lain; Lane Keep Control (LKC) dan Adaptive Cruise Control (ACC) yang menjadikan pemanduannya semi-autonomous. ACC ini berfungsi dalam kelajuan antara 30 hingga 125 km/j (sama seperti Ativa dan Myvi) dengan tiga tahap jarak dari kenderaan di depan, dan telah diberi kemasikini dengan fungsi Stop, Hold/Follow (atau Low Speed Follow) — untuk memudahkan pemandu dalam keadaan trafik sesak dan terhenti-henti. Selain itu, AV juga lengkap dengan Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Semua ini bagi saya menjadikan penawaran Perodua Alza 2022 mempunyai nilai yang sangat baik. Banyak kelebihan yang ada padanya, yang tiada pada model-model lain Perodua, tidak kisah sekiranya anda memerlukan kapasiti tujuh-tempat duduk itu atau tidak. Berbanding Myvi, saya merasakan Alza 2022 lebih menarik atas dua sebab; kerena kelancaran prestasi pemanduan yang diberikan dan juga kelebihan ruang yang cukup luas untuk dimanfaatkan bila-bila saja yang diperlukan.

PANDU UJI: Perodua Alza 1.5L AV 2022 — MPV senang pandu macam kereta, lebih berbaloi daripada Myvi?

Sebagai makluman ulang, Perodua Alza 2022 ditawarkan dalam tiga varian; X (RM62,500), H (RM68,000) dan AV (RM75,500) — harga atas jalan tidak termasuk insurans, dengan SST. Sebagai perbandingan, Alza dari model sebelumnya dijual antara RM52,661 hingga RM60,525. Dan, bukan juga rahsia yang Perodua Alza 2022 ini ada kembarnya yang lain, iaitu Toyota Avanza/Veloz dan juga Daihatsu Xenia — MPV ini dibangunkan secara bersama untuk mengoptimumkan kos pengeluarannya, dengan tumpuan untuk pasaran Asia Tenggara.

Kami juga telah banyak membuat liputan berkaitan Perodua Alza 2022, dan anda boleh rujuk sekiranya ingin melihat dengan lebih terperinci apa perbezaan antara varian yang ada. Jadi adakah Perodua Alza 2022 membawa banyak kelebihan berbanding model lamanya? Sudah tentu. Untuk model generasi kedua ini muncul selepas kurang lebih 13 tahun Alza generasi pertama berada dalam pasaran, tentulah teknologi yang terlibat juga sudah sangat jauh di depan sekarang ini.

Antara tiga varian yang ada ini, mana yang lebih berbaloi? Jika mampu untuk mendapatkan varian AV, sudah tentulah ini yang paling menarik. Banyak perkara yang ada padanya yang memberikan lebih nilai kepada wang yang dibelanjakan. Sekadar melihat kepada kabin sahaja, banyak yang membezakan, misalnya kerusi balutan kulit campuran dan dua tona warna pada papan pemuka. Cuma kekurangan Alza 2022, pembeli yang menempahnya perlu menunggu sekitar 8-10 bulan untuk menerima kenderaan mereka. Sanggup tunggu?

Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

strong>Perodua Alza 2022 1.5L AV

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required