Perbuatan ‘cop parking’ iaitu berebut parkir dengan cara ‘mengelat’, keluar dari kereta dan berdiri dipetak parkir berkenaan merupakan satu benda yang sudah lama berlaku di Malaysia. Namun menerusi video tular yang baru-baru ini tersebar di media sosial agak istimewa sedikit, kerana ia dilakukan oleh warga negara jiran yang dianggap jauh lebih maju dari kita iaitu Singapura.

Video berkenaan dimuat naik oleh pemunya akaun Facebook Hey XpG. Menurutnya kejadian tersebut berlaku ke atas adiknya (tidak dinyatakan di mana ia terjadi) yang mahu masuk ke satu petak parkir di mana sebuah Toyota Corolla Altis sudah bersedia untuk keluar dari situ.

Walau bagaimanapun, tiba-tiba datang seorang wanita ke petak parkir berkenaan untuk ‘menjaga’ petak tersebut. Dan selepas Altis tersebut keluar dari petak parkir, wanita tersebut menghalang kereta yang dinaiki oleh perakam video ini untuk masuk ke petak parkir berkenaan, bagi memberi laluan kepada sebuah SUV Mercedes-Benz GLB dengan nombor pendaftaran Singapura yang datang dari belakang untuk masuk ke petak parkir tersebut.

Tahukah anda, walaupun nampak remeh, perbuatan ‘cop parking’ ini sebenarnya satu kesalahan di Malaysia yang membolehkan anda dikenakan hukuman? Menerusi perkongsian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam akaun twitternya sebelum ini, ‘cop parking’ dengan cara seperti meletakkan kerusi/kon/pasu bunga/ampaian baju, berdiri atas petak parking dan sebagainya merupakan kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Akta berkenaan jelas menyebut “Jika mana-mana orang melainkan dengan kuasa yang sah, berada di atas mana-mana jalan atau di mana-mana tempat letak kereta bagi maksud mendesak mana-mana orang lain berkenaan dengan penjagaan atau pencucian sesuatu kenderaan motor, atau bagi maksud mengarahkan mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor berkenaan dengan meletakkan kereta di atas jalan atau di tempat itu, dia melakukan suatu kesalahan.”

Menurut JPJ, undang-undang ini turut diguna pakai di semua kawasan sama ada di tempat awam mahupun di premis swasta termasuk pusat membeli-belah, dan hukuman bagi pesalah cop parking ditetapkan dibawah Seksyen 119 yang membawa penalti tidak lebih RM2 ribu atau penjara tidak lebih 6 bulan bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi kesalahan seterusnya.