Rapid KL dan KTM mengingatkan para penggunanya untuk terus memakai pelitup muka atau facemask apabila menggunakan tren dan bas kendaliannya. “Tanpa pelitup muka, anda tidak akan dibenarkan untuk mengakses sistem pengangkutan awam,” ujar kenyataan kedua-dua pengendali pengangkutan awam tersebut.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi wajib dipakai di tempat tertutup (dalam premis, bangunan dan sebagainya). Walau bagaimana pun, ia masih wajib dipakai bagi beberapa situasi seperti individu yang didapati positif Covid-19, ketika menggunakan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang, serta van/bas pekerja atau sekolah serta semasa berada dalam fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan lain-lain yang berkaitan.

Walau bagaimana pun, menurut Khairy lagi, pemakaian pelitup muka masih sangat digalakkan — misalnya ketika anda berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung beli-belah dan rumah ibadah; individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selesema; individu yang berisiko tinggi seperti warga tua, penghidap penyakit kronik, mereka yang mempunyai imuniti rendah dan ibu mengandung; serta ketika melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.

Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka pula kekal sama seperti yang diumumkan sebelum ini, dengan kelonggaran diberikan dan tidak wajib digunakan. Namun, KKM tetap menggalakkan pelitup muka digunakan di kawasan luar bangunan sekiranya anda berada di kawasan ramai orang dan sesak; individu bergejala demam, batuk dan selesema serta bagi individu berisiko tinggi.