Sejak semalam (10 Oktober 2022) Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah mula menjalankan sesi ujian migrasi sebagai persediaan untuk pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua yang berlangsung sehingga 31 Disember ini.
CEO Rapid Rail, Amir Hamdan berkata ia melibatkan operasi tren ujian dari Stesen MRT Putrajaya Sentral sehingga Stesen MRT Kwasa Damansara. Di mana tren-tren ujian ini akan berhenti di semua stesen MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu dan tidak akan mengambil penumpang.
Dalam masa yang sama, pihaknya akan memantau rapi sesi ujian yang dijalankan oleh kontraktor bagi memastikan semua langkah dan prosedur dipatuhi. Kekerapan tren pada waktu puncak pagi dan petang kekal seperti sedia ada ketika ujian dijalankan.
“Pihak kami akan memaklumkan kepada pengguna sekiranya ujian ini dapat diselesaikan lebih awal daripada jadual. Sesi ujian ini adalah salah satu pra syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa selain untuk mengukur dan menguji keberkesanan sistem menjelang pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya,” kata Amir.
Dalam pada itu, Amir berkata, bagi mengelakkan penumpang keliru ketika sesi ujian migrasi itu dijalankan, pihaknya akan memasang notis pada pintu tren berkenaan untuk melarang pengguna daripada memasukinya.
“Pihak operasi sudah menampal notis dan pengumuman di stesen turut dijalankan bagi makluman penumpang. Makluman menerusi platform media sosial Rapid KL turut dilakukan,” katanya.
MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua ini dijangka dijangka bakal beroperasi mulai Januari 2023. Manakala Fasa Satu dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah pun mula beroperasi sejak 16 Jun lalu yang melibatkan laluan sepanjang 17.5 kilometer meliputi sembilan stesen baharu dan tiga stesen merupakan sebahagian daripada MRT Laluan Kajang.
Jajaran keseluruhan laluan rel adalah sepanjang 52.2 kilometer, di mana 13.5 kilometer terletak di bawah tanah. Di mana daripada kesemua 37 buah stesennya, 11 daripadanya adalah di bawah tanah. Laluan ini adalah dari Kwasa Damansara hingga Putrajaya dan melalui kawasan penduduk yang padat seperti Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC), Kuchai Lama, Seri Kembangan dan Cyberjaya.
Penumpang boleh bertukar antara tren MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang di Kwasa Damansara dan laluan baharu itu juga dihubungkan dengan perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral) dan Kampung Batu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.