Fasa pertama bagi MRT Laluan Putrajaya bakal dibuka kepada umum mulai jam 3 petang ini. Laluan berkenaan akan dilancarkan oleh Perdana Menter Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan acara perasmiannya boleh ditonton menerusi www.jomnaikmrt.com.
MRT Laluan Putrajaya bagi fasa pertama ini melibatkan jajaran sepanjang 17.5 km dan memiliki keseluruhan 12 stesen, dengan sembilan stesen baharu yang menyertai tiga stesen sedia ada yang bersambung dengan MRT Laluan Kajang.
Tiga stesen sedia ada adalah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh. Dari setsen berkenaan, laluan akan melalui MRR2 ke Kepong. Stesen baharu yang terlibat ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu.
Kwasa Damansara merupakan stesen terminal dan pertukaran dengan MRT Laluan Kajang. Manakala dua stesen yang turut disambungkan dengan perkhidmatan KTM Komuter ialah Sungai Buloh dan Sri Damansara Timur. Di mana stesen Sri Damansara Timur (yang dinamakan sebagai SD) terletak berhampiran KTM Komuter Kepong Sentral, bertentangan dengan Desa Mall.
Tujuh daripada kesemua stesen yang disebutkan ini memiliki fasiliti parkir. Jarak perjalanan dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu di Jalan Ipoh dianggarkan sekitar 24 minit. Laluan baharu ini melibatkan 20 set tren tanpa pemandu, setiap satunya dengan empat gerabak dengan kapasiti 1,200 penumpang. Perkhidmatan tren ini juga disertakan dengan kemudahan bas perantara, dengan 13 laluan, juga bermula hari ini.
Manakala fasa kedua bagi MRT Laluan Putrajaya pula dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2023. Apabila siap kelak, ia melibatkan jarak keseluruhan mencecah 57.7 km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.