Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya kini sedang mengesan lima individu yang bertindak sebagai pengiring (marshal) konvoi motosikal yang memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada lapan kenderaan sebuah parti politik di lampu isyarat Taman Desa Dahlia, Senawang.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Yusoff, kejadian tersebut dikesan menerusi satu klip video yang tular di media-media sosial, memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang membawa bendera parti politik yang sama dan menghalang laluan di lokasi berkenaan awal minggu ini.

“Pada jam 6.47 petang Isnin lalu, tular satu rakaman berdurasi 33 saat berkaitan sekumpulan penunggang motosikal yang menghalang dan mengganggu kelancaran lalu lintas serta pengguna jalan raya lain yang melalui jalan itu.

“Dalam video itu merakamkan aksi lima penunggang motosikal dengan membawa bendera parti politik menahan kenderaan di simpang empat lampu isyarat di lokasi.

“Ia bagi memberi laluan lapan kenderaan yang dipercayai daripada parti politik yang sama. Kejadian itu mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, dan menambah pihak polis kini sedang mengesan semua pemandu dan penunggang yang terbabit dalam kejadian itu.

“Tindakan mereka sebagai marshal dengan menahan dan mengawal kenderaan melalui lampu isyarat adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21(1) Akta Polis 1967.

“Tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967. Individu yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas, hukuman individu yang melakukan kesalahan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya lagi.

Dalam kenyataan yang sama Ahmad Dzaffir turut menasihatkan semua parti politik supaya tidak melanggar undang-undang jalan raya ketika dalam tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).