Toyota Innova Zenix 2023 diperkenalkan — MPV platform TNGA, generasi ke-3 lebih besar, ada hibrid

Toyota Innova Zenix 2023 diperkenalkan — MPV platform TNGA, generasi ke-3 lebih besar, ada hibrid

Toyota Innova serba baru akhirnya telah diperkenalkan di Indonesia. Dengan nama Kijang Innova Zenix untuk pasaran di sana, ini merupakan penampilan sulung model terbabit dengan rekaan serba baru dan menjadi penerus kepada legasi 45 tahun dan lebih dua juta unit yang telah terjual di sana.

Ini merupakan Innova generasi ketiga. Dalam penampilan terbaru ini, ia mewakili peralihan baru yang sangat penting berbanding model lamanya dari banyak sekali aspek, termasuk dengan spesifikasi teknikal yang ditawarkannya kini.

Jika versi terdahulu MPV berkenaan menggunakan caisis IMV ladder frame yang dikongsi bersama Hilux dan Fortuner, Innova terbaru ini telah beralih kepada binaan monocoque berasaskan Toyota New Global Architecture (TNGA), khusus platform dari varian GA-C.

Maka, Innova bukan lagi sebuah MPV pacuan roda belakang, dan ini digantikan dengan tataletak enjin untuk sistem pacuan roda depan. Menurut Toyota, paltform baru ini membolehkan jarak overhang MPV ini dikurangkan dan jarak antara rodanya ditambah: kini berukuran 2,850 mm berbanding 2,750 mm sebelum ini.

Toyota Innova Zenix 2023 diperkenalkan — MPV platform TNGA, generasi ke-3 lebih besar, ada hibrid

Ukuran lain termasuklah panjang 4,755 mm (+20 mm) dan lebar 1,850 mm (+20 mm), sementara ketinggian masih kekal sama dengan 1,795 mm. Sudut mendekati dan berlepas bagi MPV ini juga masih dikekalkan dan sama dengan model generasi kedua, begitu juga tengan kedudukan dari tanah 185 mm.

Dari segi penampilan, Innova baru ini diberikan rekaan lebih cenderung kepada sebuah SUV, dengan lenkuk sisi serta bahagian pelindung badan warna hitam pada lengkung tayar dan bahagian bawah pintunya. Di depan, gril hadir dalam bentuk hexagonal dengan rekaan lampu bersegi yang dipisahkan dari bukaan di bawahnya oleh lampu LED melintang.

Dari sisi, Innova baru ini memiliki profil lebih dinamik dan kurang berkotak. Di belakang, lampunya diberikan rekaan lebih ringkas, dan digabungkan dengan lampu tegak yang ada, ia ada mirip rekaan dari RAV4. Di dalam, papan pemukanya rekaan baru dan nampak lebih elegan.

Warna yang kontras pada kemasan menyerlahkan lagi lapisan papan pemuka yang ada, dengan tumpuan kepada konsol tengah yang bersepadu dengan tindanan di tengah. Kawasan ini menempatkan tuil gear, kawalan digital untuk sistem pendingin, corong udara tengah dan skrin sentuh 9/10-inci untuk sistem infotainmen.

Toyota Innova Zenix 2023 diperkenalkan — MPV platform TNGA, generasi ke-3 lebih besar, ada hibrid

Selebihnya, ada konsol berasingan di antara kerusi depan untuk ruang cawan, slot USB dan perehat lengan. Ruang dalamannya juga lebih luas kerana tidak lagi perlukan terowing tengah lantai untuk sistem pacuan roda belakang seperti sebelum ini. Turut ada varian yang ditawarkan dengan kerusi kapten untuk barisan kedua.

Kelengkapan yang ditawarkan untuk Innova ini pula adalah rim dengan pilihan saiz 16 hingga 18-inci, lampu LED, brek parkir elektrik dengan Auto Hold, skrin hiburan 10-inci di belakang, bumbung panoramik, dan Toyota Safety Sense yang termausk AEB.

Sudah dimaklumkan bahawa Innova juga akan menerima sistem janaan hibrid, dan dengan platfrom TNGA, ini kali pertama perkara itu menjadi kenyataan. Tetapan berkenaan terdiri daripada enjin Dynamic Force M20A-FXS 2.0 liter NA empat-silinder — memberikan sehingga 152 PS pada 6,000 rpm dan 187 Nm tork dari 4,400 hingga 5,200 rpm.

Ini dibantu oleh sebuah motor elektrik dengan janaan kuasa 113 PS dan 205 Nm tork, menjadikan output keseluruhan 186 PS. Toyota menjelaskan, bateri nickel–metal hydride (Ni-MH) yang menjadi pilihan kerana cuaca panas di Indonesia, dan diletakkan di bawah dua kerusi depan.

Toyota Innova Zenix 2023 diperkenalkan — MPV platform TNGA, generasi ke-3 lebih besar, ada hibrid

Selain sistem janaan hibrid, Innova akan ditawarkan di Indonesia dengan enjin M20A-FKS 2.0 liter yang menjana 174 PS pada 6,000 rpm dan 205 Nm dari 4,500 hingga 4,900 rpm. Kedua-dua tetapan ini memanfaatkan CVT (e-CVT untuk hibrid), sementara untuk output lebih tinggi dengan enjin 1TR-FE 2.0 liter yang menghasilkan 139 PS dan 183 Nm.

Di Indonesia, Innova ditawarkan dalam dua gred untuk enjin petrol, iaitu G dengan harga 419 juta rupiah (RM121,891) dan V dengan harga 467 juta rupiah (RM135,854). Janaan hibrid pula juga hadir dengan kemasan G dan V, dan dijual pada harga 458 juta rupiah (RM133,246) dan 522.15 juta rupiah (RM151,909).

Versi hibrid juga datang dalam tingkap kemasan paling tinggi, Q dengan harga 601.15 juta rupiah (RM174,893). Gred V pula boleh dipilih dengan kit Modellista dengan tambahan 9.85 juta rupiah (RM2,866). Dengan ini, Innova baru berkenaan dijual pada harga permulaan yang lebih tinggi berbanding model sebelum ini, dengan 369.6 juta rupiah hingga 471.9 juta rupiah (RM107,521 hingga RM137,281).

Apa pandangan anda tentang model ini? Berapa harganya yang boleh dijangka untuk pasaran Malaysia?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required