PANDU UJI: GWM Ora Good Cat – bolehkah jadi EV hatchback popular dan paling mampu milik di M’sia?

PANDU UJI: GWM Ora Good Cat – bolehkah jadi EV hatchback popular dan paling mampu milik di M’sia?

Ora Good Cat diperkenalkan buat pertama kalinya di China pada Ogos 2020 dan kemudian telah dijual melebihi 100,000 unit di negara berkenaan. Tahun lalu, kenderaan elektrik (EV) hatchback ini memasuki pasaran Thailand pula dan didakwa menduduki tangga teratas bagi jualan kenderaan yang sama segmen dengannya.

Sebelum 2022 menutup tirainya, pengeluarnya, Great Wall Motors (GWM) bakal melancarkan EV ini di pasaran Malaysia, dijangkakan pada Isnin hadapan, 28 Nov 2022. Ia bagai pembuka tirai kembalinya jenama GWM ke Malaysia. Ora Good Cat juga telah pun mula menerima tempahan awal sejak dua minggu lalu dan mencecah lebih 100 unit untuk tempahan pertama.

Hujung bulan lalu, kami diberi kesempatan mengikuti sesi pandu uji ringkas EV hatchback ini, dengan jarak perjalanan dari Bandar Gamuda Cove ke Putrajaya (dua hala) lebih kurang 30 km. Walau pun berkesempatan memandu ujinya dalam tempoh waktu yang singkat dan bergilir-gilir dengan Mick Chan (paultan.org) dan Jason Chung (paultan.org Chinese), sekadar berpuas hati untuk berkongsi secebis pengalaman mengendalikan hatchback ini. Kami diberikan varian tertinggi iaitu Ultra G untuk dipandu uji.

PANDU UJI: GWM Ora Good Cat – bolehkah jadi EV hatchback popular dan paling mampu milik di M’sia?

Melenjan kereta cute ini merentasi Lebuhraya PLUS serta kawasan pekan di daerah Dengkil memberikan pengalaman berbeza dalam pengendalian Ora Good Cat ini. Prestasinya boleh dikatakan agak tangkas sebagai sebuah EV hatchback yang digandingkan dengan motor elektrik yang menghasilkan 143 PS/210 Nm, memacu roda depan, dengan kelajuan maksimum mencecah 152 km/j.

Ia turut menyediakan pemanduan dengan pedal tunggal bersama lima pilihan mod iaitu Normal, Sport, Eco, Eco+ dan Auto. Jadi, anda boleh memilih mod pemanduan yang diingini untuk disesuaikan dengan corak pengendalian serta keadaan jalan yang dilalui.

Ketika merentasi jalan pekan/kampung dengan laluan sedikit berselekoh dan berbukit, ketangkasan Ora Good Cat teruji. Adakalanya pemanduan terpaksa menempuh permukaan jalan yang kurang rata dan ada yang berlopak, maka terpaksalah memperlahankan pemanduan. Kemudian tenaga enjin ditagih selepas melepasi permukaan jalan ‘yang kurang elok’ itu. Ledakan enjinnya tidaklah begitu padu tetapi mencukupi untuk memacu EV ini hingga ke takat kelajuan yang diingini.

PANDU UJI: GWM Ora Good Cat – bolehkah jadi EV hatchback popular dan paling mampu milik di M’sia?

Ora Good Cat diberikan topang MacPherson untuk suspensi bahagian hadapan dan palang torsi di belakang, memberikan kesan dinamik yang agak baik khususnya ketika merentasi selekoh. Walau bagaimana pun, keselesaan pemanduannya berada pada tahap sederhana. Cengkaman brek pula cukup responsif bila diperlukan.

Kesan olengannya sedikit ketara, bukan setakat dirasai oleh penumpang di belakang, yang memandunya juga dapat merasainya. Jadi, pemanduan pada skala sederhana lebih bersesuaian, tidak perlu untuk menagih kerahan tenaganya dan tidak perlu juga dilenjan secara agresif. Itu memang bukan karakteristik Ora Good Cat. Enjoy saja pemanduan yang menenangkan.

Tahap NVH Ora Good Cat ini juga sederhana saja dan tidaklah memberikan keselesaan yang begitu optimum. Sebagai sebuah kenderaan elektrik, bunyi enjinnya tidak jelas kedengaran, agak sayup-sayup menyapa halwa telinga. Cuma bunyi dari luar termasuk seretan tayar, bunyi kenderaan di sekeliling atau pun bunyi hujan menyerap masuk ke dalam kabin.

PANDU UJI: GWM Ora Good Cat – bolehkah jadi EV hatchback popular dan paling mampu milik di M’sia?

Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, varian Tech dan Pro akan menggunakan bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate yang boleh memberikan jarak perjalanan cecah 400 km mengikut kitaran NEDC. Untuk pengecasan penuh, ia memerlukan sekitar lapan jam jika dicas menggunakan pengecas AC (sambungan Type 2) pada kadar input maksimum 6.6 kW. Dengan pengecas pantas DC, ia boleh dicas 0-80% (SoC) dalam masa 46 minit pada kadar 60 kW.

Sementara itu, varian Ultra dan Ultra G pula diberikan bateri lithium 63.1 kWh yang menawarkan jarak perjalanan mencecah 500 KM mengikut kitaran NEDC. Ia mengambil masa sekitar 10 jam untuk pengecasan penuh menerusi pengecas AC. Jika menggunakan pengecas pantas DC, masa yang diambil untuk status 0-80% pengecasan pula adalah sekitar 40 minit.

Untuk penggayaannya, mungkin ada yang menganggap bahagian hadapan Ora Good Cat ‘sipi-sipi’ macam Volkswagen Beetle. Lebih-lebih lagi dengan lampu utamanya yang bulat dan juga bentuk bonet hadapannya. Itu mungkin sekadar tanggapan segelintir pihak. Tapi sebenarnya Ora Good Cat atau panggilan di China, Haomao, ini diberikan penggayaan retro estetika oleh perekanya, Emanuel Derta, yang juga merupakan bekas pereka model Porsche.

PANDU UJI: GWM Ora Good Cat – bolehkah jadi EV hatchback popular dan paling mampu milik di M’sia?

Untuk bahagian hadapannya, ia diberikan lampu utama LED secara standard untuk semua varian dan tambahan efek welcoma light bagi model spesifikasi tertinggi. Manakala di bahagian belakangnya, rekaan yang lebih ringkas diberikan termasuk lampu LED jalur melintang dengan spoiler dan antena shark fin. Manakala perkataan Ora lebih besar di bahagian tengah, sementara perkataan Good Cat dan GWM di bawahnya, lebih kecil dan terletak di kiri-kanan.

Varian asas, Tech, digandingkan dengan rim aloi 17-inci, manakala tiga varian teratas dilengkapi unit 18-inci. Ciri lain yang ditambah pada varian Pro, Ultra dan Ultra G termasuklah cermin sisi lipatan kuasa elektrik, penderia pengilap cermin dan bumbung panoramik.

Menjengah bahagian kabinnya, bentangan rekaan serba ringkas diberikan. Ciri standard yang diberikan untuk varian Tech termasuklah sistem pintar tanpa kunci, tempat duduk balutan fabrik, kluster instrumen 7.0-inci, pendingin hawa automatik dengan penapis PM2.5, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci, empat pembesar suara, kawalan kelajuan, dua beg udara, ESC, penderia parkir, bantuan mula mendaki, brek kecemasan kelajuan rendah dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Walau bagaimana pun, varian Pro dan dua lagi varian tertinggi ditambah dengan tempat duduk kulit, kamera 360-darjah, pengecas telefon tanpa wayar, slot USB untuk dashcam serta enam beg udara. Kit keselamatan aktif pula termasuklah kawalan kelajuan adaptif dengan belokan pintar, bantuan kesesakan trafik, brek kecemasan automatik dengan sokongan di persimpangan, amaran pelanggaran hadapan, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong dan bantuan pemusatan lorong.

Jika memilih varian Utlra, ciri tambahan yang diberikan termasuk fungsi memori untuk tempat duduk pemandu, dua tambahan pembesar suara (kesemuanya berjumlah enam unit), parkir automatik, kekal lorong kecemasan, bantuan tukar lorong, pengesan titik buta, amaran pelanggaran belakang, kepekaan trafik lintasan belakang serta penderia parkir hadapan.

Untuk Ultra G, ciri kelengkapan yang diperoleh hampir sama dengan Utlra, tetapi ia diberikan warna eksklusif Hazel Wood Beige/Wisdom Brown dan Verdant Green dengan bumbung putih. Ia dipadankan dengan upholstery ruang kabin dalam warna coklat dan beige atau hijau-kelabu.

Buat masa ini, harganya masih belum didedahkan, namun dijangkakan bermula antara RM150k hingga RM160k. Harga sebenarnya hanya akan didedahkan pada majlis pelancarannya yang dijangka berlangsung pada 28 Nov ini. Walau bagaimana pun, dengan harga jangkaan ini, adakah Ora Good Cat mampu mencipta nama sebagai sebuah EV hatchback popular seperti mana di China dan Thailand? Dan adakah dengan harga yang bakal didedahkan, ia menjadi model hatchback paling murah di bawah segmennya?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required