Bulan lalu kita sudah menyaksikan Toyota mendedahkan Prius generasi kelima baru dan sekarang, perincian lanjut untuk versi PHEV disiarkan. Model ini akan mula diperkenalkan di Eropah pada pertengahan tahun 2023.
Berkenaan unit penggerak, Prius PHEV dipacu oleh enjin Dynamic Force M20A-FXS 2.0 liter empat silinder, pek bateri lithium-ion dan juga motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS (220 hp atau 164 kW). Kuasa yang lebih tinggi ini dapat membantu ia membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat (sebelum ini 11.1 saat) sementara penggunaan bahan api pula, walaupun dengan enjin lebih besar adalah sama cekap seperti versi 1.8 liter sebelum ini.
Pek bateri yang digunakan pada Prius PHEV ini diberitahu adalah unit lithium ion baru berkapasiti 13.6 kWh. Ia menampilkan sel tenaga tumpat yang lebih tinggi demi mendapatkan pakej yang optima dan mempunyai saiz cukup kompak sehingga boleh diletakkan di bawah tempat duduk penumpang.
Selain membantu merendahkan titik graviti, pek bateri lithium ion baru ini juga dapat memberikan Prius ini jarak gerak elektrik sehingga 69 km, iaitu peningkatan sebanyak 50% berbanding model generasi sebelum ini (40-50 km). Bumbung solar juga membantu mengumpul kuasa elektrik sewaktu ia bergerak.
Selain daripada itu, Toyota juga memberitahu bahawa bumbung ini dapat memberikan kuasa elektrik untuk bergerak sebanyak lapan kilometer setiap hari dan boleh mengecas penuh baterinya apabila diletakkan tidak bergerak selama beberapa hari. Turut didedahkan adalah dimensi, di mana ia sekarang 50 mm lebih rendah, 22 mm lebih lebar, 46 mm lebih pendek dan jarak roda 50 mm lebih panjang.
Pada bahagian kabin, Prius 2023 ini dilihat diberikan roda stereng dan paparan instrumen yang diletak tinggi seperti SUV elektrik Toyota bZ4X. Menurut Toyota, paparan instrumen tersebut diletakkan sedemikian bagi membolehkan ia memberi amaran bernyala di mana sistem berkenaan akan memberikan kerlipan lampu apabila sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense mengesan halangan sebelum memberikan amaran secara audio.
Untuk keselamatan, Prius 2023 ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang beroperasi menggunakan kamera monukular di hadapan, kamera menghadap ke belakang untuk cermin pandang belakang digital, dan perekod video dalam kenderaan yang menyimpan data pada ECU bagi mengelakkan masalah data korup.
Semua varian akan menerima kelengkapan keselamatan ini secara standard, dengan penambahbaikan dibuat pada jarak mengesan objek serta sistem bantuan parkir Advanced Park yang kini boleh dikendalikan secara jarak jauh dari luar kenderaan melalui aplikasi telefon pintar.
GALERI: Toyota Prius 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.