Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

Toyota Prius merupakan model produksi massa pertama di dunia yang menampilkan teknologi hibrid enjin petrol dan motor elektrik – sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 1997, Prius sudahpun di’cop’ sebagai sebuah kereta mesra alam yang bosan. Tetapi dari masa ke masa Prius terus berevolusi, dan ini dia Toyota Prius generasi kelima didedahkan dengan rupa yang sangat sporty dan futuristik!

Model 2023 ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA), iaitu versi evolusi dari casis TNGA Prius generasi keempat. Toyota mengatakan bahawa ia “mengambil keputusan untuk memulakan semula penghasilan Prius bagi menjadikan ia kekal popular untuk 25-tahun akan datang.”

Oleh sebab itu selain bahagian belakangnya yang kekal dihasilkan sebagai liftback, rekaan Prius generasi kelima ini dilihat seperti tiada langsung kaitan dengan empat generasi sebelumnya. Sekali tengok Prius ini kelihatan sebuah kereta konsep, tetapi hakikatnya ia sememangnya model produksi sebenar. Ia menampilkan badan yang lebar bersama bumbung yang rendah, manakala ruang rodanya direka besar dan ‘berotot’ serta turut diberikan set roda yang besar.

Bahagian hadapan Prius ini diberikan muka yang direka seakan ikan jerung hammerhead, menampilkan jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-C bersambung terus dengan lampu utama hadapan serta gril yang direka nipis. Gril lebih besar terletak pada bampar yang menampilkan bentuk heksagon.

Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

Dilihat dari sisi atas hadapan, fender belakang kelihatan melebar dan memberikan imej yang cukup sporty. Pembuka pintu belakang juga disorokkan pada cermin suku seperti Toyota C-HR bagi memberikan rupa seakan coupe dua-pintu. Di belakang, Prius ini menampilkan lampu yang merentangi sepenuhnya penutup but dengan rekaan seperti kapal angkasa.

Pada bahagian kabin, Prius 2023 ini dilihat diberikan roda stereng dan paparan instrumen yang diletak tinggi seperti SUV elektrik Toyota bZ4X. Menurut Toyota, paparan instrumen tersebut diposisikan sedemikian bagi membolehkan ia memberikan amaran bernyala di mana sistem berkenaan akan memberikan kerlipan lampu apabila sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense mengesan halangan sebelum memberikan amaran secara audio.

Menurut Toyota, platform TNGA (dalam varian GA-C) generasi kedua yang digunakan pada Prius 2023 ini menampilkan pusat graviti yang lebih rendah serta mampu memuatkan set roda lebih besar. Kerangka badan kereta ini juga kini dikeraskan lagi bagi memberikan pemanduan yang lebih senyap.

Ia masih menampilkan konfigurasi suspensi yang sama seperti Prius generasi keempat iaitu sistem Topang McPherson di hadapan dan sistem double wishbone di belakang. Menurut Toyota, gandingan talaan suspensi dan juga unit rangkaian kuasa terbaharu, ia memberikan prestasi pemanduan yang menarik untuk Prius ini.

Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

Model generasi kelima ini menerima unit jauh lebih berkuasa dari sebelumnya. Ia kini ditawarkan dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) menggandingkan enjin Dynamic Force M20A-FXS 2.0 liter empat silinder, pek bateri lithium-ion dan juga motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS (220 hp atau 164 kW).

Pek bateri pada sistem ini dialihkan dari ruang kargo ke bawah tempat duduk belakang. Jadi ia tidak menggangu kapasiti muatan pada but dalam masa yang sama memberikan titik graviti lebih baik.

Toyota juga menyatakan bahawa walaupun dengan enjin petrol lebih besar, unit rangkaian kuasa pacuan roda hadapan ini masih memberikan tahap efisien yang sama seperti versi 1.8 liter sebelum ini. Ia juga didakwa mampu memberikan jarak pemanduan dengan kuasa elektrik sepenuhnya 50% lebih jauh, dan pecutan 0-100 km/h yang hanya mengambil masa 6.7 saat berbanding 11.1 saat sebelum ini.

Unit rangkaian kuasa PHEV ini juga menampilkan mod My Room, di mana pengguna masih boleh menikmati sistem penghawa dingin dan juga sistem audio dari punca kuasa luaran ketika kereta ini di cas semula menggunakan fasilii pengecas.

Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

Prius 2023 ini juga ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa Series Parallel Hybrid System (HEV) dalam versi 2.0 liter dan 1.8 liter. Model HEV 2.0 liter turut diberikan enjin M20A-FXS bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 196 PS (193 hp). Toyota masih belum memperincikan versi 1.8 liter HEV, tetapi ada laporan mengatakan ia masih akan menggunakan enjin 2ZR-FXE seperti sebelum ini.

Bagi pelanggan yang mahukan sistem pacuan semua roda, ia hanya ditawarkan pada model-model HEV dengan sistem E-Four, iaitu tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar belakang bagi memberikan cengkaman AWD.

Model generasi baharu ini juga mampu membekalkan kuasa ke luar dengan diberikan dua soket aksesori 100-volt, 1.5 kW AC – satu di belakang konsol tengah dan satu lagi di ruang but belakang – yang boleh digunakan untuk menghidupkan pelbagai perlalatan elektrik. Kuasa tersebut boleh dibekalkan terus dari bateri sistem hibrid, atau menggunakan mod bekalan kuasa luar HEV yang akan menghidupkan enjin bagi mengecas bateri sekiranya kuasa berada pada tahap terlalu rendah.

Toyota Prius 2023 didedahkan – rekaan lebih radikal, tampil sistem PHEV 2.0L baharu berkuasa 223 PS

Toyota turut menghasilkan komponen khas untuk dipasang pada cermin tingkap belakang, yang membolehkan kuasa dibekalkan ke luar walaupun pun tingkap ditutup bagi mengelakkan air hujan atau serangga masuk ke dalam kabin. Prius ini turut menampilkan sistem pengecas solar untuk model PHEV, didakwa dapat menghasilkan kuasa untuk jarak gerak 1,250 km setahun.

Untuk keselamatan, Prius 2023 ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang beroperasi menggunakan kamera monukular di hadapan, kamera menghadap ke belakang untuk cermin pandang belakang digital, dan perekod video dalam kenderaan yang menyimpan data pada ECU bagi mengelakkan masalah data korup.

Semua varian akan menerima kelengkapan keselamatan ini secara standard, dengan penambahbaikan dibuat pada jarak mengesan objek serta sistem bantuan parkir Advanced Park yang kini boleh dikendalikan secara jarak jauh dari luar kenderaan melalui aplikasi telefon pintar. Model HEV akan dilancarkan pada musim sejuk tahun ini, manakala model PHEV akan mula dijual pada musim bunga 2023.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required