Bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan warga kota, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menambah dua laluan baharu, dikenali Laluan Krim dan Merah Lembayung. Ia meliputi kawasan luar pusat bandar menjadikan keseluruhan 13 laluan setakat ini.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, penambahan laluan ini turut bertujuan bagi mengurangkan kesesakan di ibu kota, laporan Harian Metro.
“Laluan ini menghubungkan kawasan perumahan yang ramai penduduk yang terjangka memerlukan kemudahan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan penggunaan kenderaan. Laluan tambahan sepanjang 15.7 kilometer bagi Laluan Krim bermula dari Hab Taman Fadason melalui 25 hentian termasuk hentian MRT Sri Delima dan pertukaran laluan bas di PMU Jinjang.
“Sementara, Laluan Merah Lembayung membabitkan jarak 16 kilometer bermula di MRT Jinjang ke Matrade dan melalui 24 hentian termasuk hentian Kereta Api Tanah Melayu (KTM),” katanya.
Tambah beliau, kekerapan bas adalah setiap 15 minit bagi waktu puncak dan 30 minit bagi waktu bukan puncak.
“Bagi saya, waktu menunggu itu tidak terlalu lama dan jumlah bas yang diperuntukkan bagi dua laluan adalah sebanyak 10 atau lima bas bagi setiap satu laluan. Saya menjangkakan laluan baharu ini mendapat sambutan penduduk di kawasan ini, malah saya juga berharap mereka menyokong penggunaan pengangkutan awam untuk ke kawasan tumpuan ramai seperti pasar dan sekolah,” katanya.
Buat masa ini, jelasnya, jumlah penggunaan pengangkutan awam didapati meningkat 24% berbanding 18% sebelum ini. Setakat November, jumlah penumpang mencecah 7.8 juta orang atau atau 23,700 sehari berbanding 6.4 juta atau 18,000 sehari pada tahun sebelum ini .
“DBKL turut menyediakan aplikasi mudah alih GoKL untuk pengguna mengetahui maklumat perjalanan perkhidmatan dengan lebih terperinci merangkumi laluan dan tempoh masa bas akan tiba di lokasi tertentu,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.