Memasuki tahun baharu 2023, beberapa syarikat pengeluar kereta telah pun mengeluarkan senarai harga baharu dan kebanyakannya menyaksikan kenaikan harga berbanding tahun sebelumnya. Begitu juga dengan Nissan Malaysia yang telah mengeluarkan senarai harga 2023 dan mengesahkan kenaikan harga bagi beberapa varian Navara sehingga RM3,500. Trak pikap ini adalah model import sepenuhnya dari Thailand, dan faktor harganya meningkat mungkin didorong oleh kenaikan nilai mata wang asing.

Dilancarkan pada April 2021, barisan terkini Navara facelift menampilkan enam varian, dan hampir kesemuanya dikekalkan untuk 2023. Senarai harga terkini untuk tahun ini membabitkan 2.5L Single Cab MT berharga RM95,600, RM114,600 untuk 2.5L SE MT, RM120,600 bagi 2.5L SE AT, RM130,600 untuk 2.5L V AT, RM142,900 bagi 2.5L VL AT dan RM148,600 untuk varian tertinggi Pro-4X AT.

Berbanding senarai harga 2022, harga bagi varian 2.5L SE AT dan ke atas tidak ada perubahan. Walau bagaimana, harga untuk varian 2.5L Single Cab MT dan 2.5L SE MT pula kini lebih tinggi sebanyak RM3,550 (masing-masing dari RM92,050 dan RM111,050).

Navara facelift dijanakan oleh enjin YD25 2.5 liter turbodiesel, dengan tahap talaan yang berbeza mengikut varian. Untuk 2.5L Single Cab MT dan 2.5L SE MT, enjinnya mampu menghamburkan kuasa hingga 163 PS dan tork 403 Nm pada 2,000 rpm, pacuannya disalurkan menerusi kotak gear manual enam-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda boleh dipilih.

Varian lain pula diberikan kotak gear automatik tujuh-kelajuan dan 4WD, dipadankan dengan versi output yang lebih tinggi dari YD25 dengan 190 PS dan 450 Nm pada 2,500 rpm.

Varian tertinggi Pro-4X tampil lebih ranggi dengan bingkai gril hadapan kelabu pekat, kemasan hitam dengan serlahan jingga, aloi hitam spesifik-Pro-4X 17-imci dengan tayar all-terrain dan sistem kargo Utili-Track baharu, di mana cangkuk pada bahagian tepi boleh dilungsurkan, sekali gus memberikan fleksibiliti kepada pengguna yang mahu mengikat barang. Kabinnya pula diberikan jahitan jingga digabungkan bersama tempat duduk kulit rona hitam.

GALERI: Nissan Navara 2.5L SE MT 2021

GALERI: Nissan Navara 2.5L Single Cab MT 2021