GALERI: Nissan Navara facelift Pro-4X 2021 Malaysia

GALERI: Nissan Navara facelift Pro-4X 2021 Malaysia

Beberapa minggu lalu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mempertontonkan Nissan Navara facelift dalam versi paling tinggi Pro-4X, dengan pelancaran yang dirancang berlaku minggu hadapan. Kini, kami sudah mempunyai gambar penuh varian trak pikap ini, yang menggunakan warna Burning Red, iaitu satu lagi pilihan selain Stealth Grey.

Seperti yang boleh dilihat, Navara ini mempunyai penampilan yang sangat berbeza berbanding sebelumnya, sementara bahagian lain masih banyak yang sama. Grilnya kini lebih besar, dengan rekaan seperti trak Titan dan di bahagian bucu terdapat lampu utama quad-projector serta DRL berbentuk C. Bampar juga adalah baru, dengan lampu kabus yang terletak dalam perumah menegak, serta skid plate besar dengan cangkuk penarik.

Bonet telah dijadikan lebih tinggi, dengan bonjolan di bahagian tengah, sama seperti ruang barangan belakang yang juga lebih tinggi. Bentuk pemijak kaki tepi baru dikatakan dapat meningkatkan prestasi aerodinamik, lebih senyap dan membantu penjimatan minyak.

Konsep pencahayaan lampu belakang juga dijadikan sama seperti lampu hadapan, dengan terdapat grafik berbentuk C sementara pintu but kini diletakkan dengan tulisan Navara. Bampar belakang yang lebih tegap didatangkan sekali dengan pemijak bagi memudahkan pengguna.

Pelbagai lagi naik taraf luaran diberikan pada varian Pro-4X ini termasuk kemasan plastik pada lengkung roda, serta lencana, gril, pemegang pintu, cermin sisi, rel bumbung dan pemijak kaki yang dihitamkan. Rim Pro-4X adalah satu inci lebih kecil berbanding varian VL, iaitu 17 inci, dan ia menggunakan warna hitam dan dibalut tayar A/T. Anda juga boleh melihat sedikit warna oren pada lencana Nissan, penutup cangkuk penarik serta kemasan lengkung roda.

Pada bahagian ruang barangan belakang, Navara Pro-4X didatangkan dengan sistem kargo Utili-Track baru, di mana cangkuk pada bahagian tepi boleh dilungsurkan, sekaligus memberikan fleksibiliti kepada pengguna yang mahu mengikat barang. Fungsi Tailgate Assist juga membantu mengurangkan usaha untuk membuka dan menutup pintu ruang barangan ini.

GALERI: Nissan Navara facelift Pro-4X 2021 Malaysia

Ada beberapa bahagian yang berubah di bahagian dalam, dan yang paling jelas adalah roda stereng tiga cabang sama seperti Serena baru. Di sebaliknya terdapat meter dengan paparan digital tujuh inci dan dua tolok analog, sementara sistem infotainmen kini menggunakan unit OEM dengan skrin sesentuh lapan inci berserta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Kemudiannya, terdapat dua soket USB di bawah perehat tangan (termasuk satu soket USB-C), serta satu lagi di bahagian belakang. Untuk tempat duduk belakang, ia telah direka semula dengan bentuk sokongan lebih baik dan penyandar yang lebih melengkung untuk menjadikannya lebih selesa. Peningkatan lain adalah termasuk tambahan penebat bunyi serta cermin akustik untuk cermin hadapan dan tingkap tepi.

Kelengkapan lain yang diberi pada Pro-4X ini adalah termasuk tempat duduk balutan kulit, lapik kaki dengan tulisan Pro-4X, lencana Nissan hitam merah pada stereng, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal pendingin hawa dua zon, cruise control, cermin pandang belakang malap sendiri, sistem kamera 360 darjah dengan pengesan objek bergerak, mod offroad baru serta enam pembesar suara.

Pada bahagian keselamatan, Pro-4X menjadi Navara pertama yang datang dengan Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert serta Automatic High Beam, dan ia menyertai ciri lain seperti enam beg udara dan Stability Control.

Walaupun adalah model baru, Navara Pro-4X yang diperkenalkan untuk Malaysia ini tidak akan mendapat enjin baru 2.3 liter diesel turbo YS23 seperti di Thailand, dan hanya akan dikuasakan oleh 2.5 liter YD25 yang sudah digunakan sejak model generasi D40 diperkenalkan.

Semasa majlis pra tontonnya, kami diberitahu bahawa ETCM telah membuat keputusan untuk spesifikasi Navara facelift sejak tahun 2018 lagi, dan masa itu keadaan berkenaan pengenalan bahan api diesel Euro 5 masih tidak diketahui. Sebab itulah mereka memilih enjin lama itu, yang menghasilkan jumlah kuasa sama seperti YS23 iaitu 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm tork pada 2,000 rpm, bersama padanan kotak gear automatik tujuh kelajuan pada Pro-4X.

GALERI: Nissan Navara facelift Pro-4X 2021 Malaysia

Di sebalik badannya pula terdapat beberapa lagi perubahan. Sistem stereng telah ditala semula untuk menjadi lebih cepat dan kurang berat untuk diputar waktu kelajuan rendah, manakala suspensi multilink di belakang menampilkan spring dua kadar yang dapat mengurangkan lambungan badan termasuk dengan muatan, meningkatkan stabiliti, keselesaan serta pengendalian. Kemampuan membawa muatan juga bertambah menjadi 1.1 tan.

Ciri baru lain yang terdapat pada Pro-4X adalah pengunci differential belakang elektronik serta Trailer Sway Assist, iaitu sistem yang memberi daya brek sekiranya trak mula berayun apabila menarik sesuatu. Nissan Navara facelift akan dilancarkan pada 16 April, dan pada masa itu spesifikasi lengkapnya akan didedah dan tempahan untuk semua varian akan dibuka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required