Muncul buat kali pertama pada 2014, hatchback segmen-B Mazda 2 masih lagi dijual dalam pasaran. Dan bagi versi 2023, Mazda 2 kini diberikan fasa facelift kali kedua selepas fasa pertama facelift diperkenalkan pada 2019. Jadi apa yang baru untuk versi terkini ini?
Dari segi luaran, perubahan paling ketara adalah pada bahagian muka di mana Mazda 2 2023 ini menerima gril baharu yang ditawarkan dengan dua rekaan berbeza bergantung pada varian. Rekaan pertama menampilkan gril “biasa” dengan elemen sarang lebah dan diberikan kemasan hitam berkilat pada bingkai tanpa krom seperti versi sebelum ini.
Manakala satu lagi pilihan rekaan, ia diberikan gril dengan penutup liang udara besar menjadikannya kelihatan seakan sebuah kereta EV. Namun untuk kedua-dua rekaan ini, ia diberikan gril bawah yang lebih besar dari model sebelumnya.
Mazda turut menawarkan dua warna badan baharu iaitu Aero Grey Metallic dan Airstream Blue Metallic, pilihan bumbung dalam beberapa kemasan termasuk rekaan ala-karbon, serta memberikan “serlahan warna yang tidak simetri” menerusi perapi khas yang diletak pada gril hadapan dan bampar belakang.
Mazda 2 2023 ini juga hadir dengan pilihan set rim baharu, termasuk rekaan penutup rim funky yang menampilkan tiga jejari segitiga yang nampaknya boleh diberikan pelbagai kemasan warna.
Tiada perubahan besar dilihat pada bahagian kabin. Semuanya masih nampak serupa kecuali skrin untuk sistem infotainmen Mazda Connect yang kini lebih besar bersaiz lapan-inci, serta pilihan warna-warna kemasan yang baharu untuk papan pemuka bagi disesuaikan dengan pilihan warna luaran.
Secara keseluruhan, Mazda menawarkan 11 warna badan, tiga warna panel papan pemuka, tiga warna bumbung dan enam warna penutup rim ditawarkan, membolehkan pembeli membuat pilihan dengan 198 padanan berbeza.
Ia juga ditawarkan pakej-pakej tema seperti Rookie Drive dan Clap Pop, serta pelbagai aksesori Mazdaspeed dan AutoExe yang boleh dipilih menerusi katalog baharu.
Bagi pasaran Jepun, Mazda 2 facelift 2023 ini masih dijana oleh barisan enjin petrol dan diesel sama seperti versi sebelum ini. Bagi model petrol, ia menerima dua pilihan enjin NA 1.5 liter empat silinder SkyActiv-G. Yang pertama adalah versi dengan nisbah mampatan lebih tinggi menampilkan penjimatan bahan api lebih baik (diperkenalkan pada 2021) berkuasa 110 PS tork maksima 142 Nm.
Pengguna yang tidak kisah berkenaan penggunaan bahan api dan lebih mengutamakan kuasa masih boleh memilih enjin 1.5 SkyActiv-G versi lebih lama yang menghasilkan kuasa 116 PS dan tork maksima 149 Nm. Kedua-dua pilihan enjin petrol ini boleh dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan, serta pilihan sistem pacuan semua roda turut ditawarkan.
Model diesel juga diberikan dua pilihan talaan enjin bergantung pada transmisi yang dipilih. Kedua-duanya masih diberikan enjin turbodiesel SkyActiv-G 1.5 liter empat silinder, dengan model yang diberikan kotak gear automatik ditala bagi menghasilkan kuasa 105 PS dan tork maksima 250 Nm.
Manakala model diesel dengan kotak gear manual menerima talaan kuasa yang sama tetapi tork yang lebih rendah dengan angka 220 Nm. Sistem pacuan semua roda untuk Mazda 2 diesel ini masih ditawarkan pada varian-varian terpilih.
Mazda 2 facelift 2023 pasaran Jepun ini dijual pada harga bermula 1.529 juta yen (RM50k) hingga 2.541 juta yen (RM83k). Pelanggan di Jepun sudah pun boleh menempah Mazda 2 baharu ini, dan penghantaran kepada pelanggan dijadualkan pada penghujung Mac.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.