Honda Transalp XL750 2023 – harga jualan di Eropah terdedah, tidak jauh beza dengan Yamaha Tenere 700

Honda Transalp XL750 2023 – harga jualan di Eropah terdedah, tidak jauh beza dengan Yamaha Tenere 700

Semasa pameran EICMA hujung tahun lalu, Honda telah mendedahkan sebuah motosikal adventure kelas pertengahan baru yang dipanggil sebagai Transalp XL750. Ramai yang teruja dengannya, kerana memasuki segmen yang popular untuk bersaing antaranya dengan Yamaha Tenere 700 dan Suzuki V-Strom 800DE, dan membawa keunikan tersendiri.

Dengan kelengkapan serta sistem yang lebih canggih berbanding Tenere 700, ramai yang tertunggu-tunggu harganya. Dalam laman web rasmi Honda ia masih belum didedahkan, tetapi melalui laman web motociclismo.it yang sudah mendapat maklumat awal, kita dapat mengetahui Honda meletakkannya pada harga bermula 10,940 euro (RM50,419) untuk jualan di Itali.

Perbezaan harganya dengan Tenere 700 biasa di sana cuma 59 euro (RM271), di mana model Yamaha itu dijual pada harga 10,999 euro (RM50,691). Dibandingkan pula dengan salah satu model Honda sendiri, iaitu CB500X yang dijual pada harga 6,699 euro (RM30,873) di sana, Transalp XL750 adalah lebih mahal 4,249 euro (RM19,582).

Walaupun harga Transalp XL750 ini sangat hampir dengan Tenere 700 yang lebih ringkas, ia menawarkan lebih ciri kepada pengguna, terutamanya pada bahagian elektronik termasuk lima mod tunggangan, empat tahap Engine Power, tiga tahap Engine Brake, lima tahap (juga boleh ditutup) Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta mod Offroad bagi ABS.

Ia dipacu oleh enjin dua silinder selari SOHC 755 cc bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper sama seperti Hornet CB750, mampu menghasilkan kuasa sehingga 90.5 hp pada 9,500 rpm dan 75 Nm tork pada 7,500 rpm.

Suspensi Transalp XL750 menggunakan unit daripada Showa, dengan cuma pelarasan pra beban sahaja untuk kedua-dua fork hadapan dan penyerap belakang, sementara rim pula menggunakan unit spoked bertiub saiz 21 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 208 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 16.9 liter.

GALERI: Honda Transalp XL750 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required