Menerusi Facebook USJ Community yang memuat naik foto seorang lelaki yang memandu BMW X1 dengan nombor plat pendaftaran Thailand dikesan mengisi minyak petrol bersubsidi RON95 di sebuah stesen Shell yang dipercayai terletak di sekitar USJ Subang Jaya.
Entri berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan pemandu BMW X1 berkenaan dan meminta agar perkara ini segera dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. Individu yang memuat naik foto ini berkata, dia telah pun membuat aduan kepada pekerja stesen minyak terbabit tetapi tidak diendahkan. Menurutnya, pekerja stesen minyak berkenaan juga seorang warga asing dan kemungkinan besar tidak mahu mencetuskan sebarang masalah di situ.
Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa orang ramai untuk terus melaporkan ke stesen minyak sekiranya mereka mengesan ada warga asing yang mengisi petrol RON 95 yang disubsidi. Presiden PDAM Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata laporan yang dikemukakan oleh orang awam adalah lebih efektif bagi menangani isu ini berbanding hanya mengambil foto dan kemudian menularkannya di laman media sosial.
Tambah beliau, sekiranya pihak berkuasa mendapati warga asing mengepam petrol RON 95, tindakan hanya boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak. Mereka yang ditangkap kerana melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), yang mengawal Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, boleh berdepan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi individu, dan denda tidak melebihi RM2 juta untuk entiti atau syarikat.
Sebenarnya ini bukanlah perkara baharu, malah telah acapkali berlaku sebelum ini. Umum mengetahui bahawa kenderaan dengan pendaftaran plat asing adalah tidak dibenarkan untuk membeli petrol RON 95 di Malaysia. Peraturan ini telah termaktub sejak 1 Ogos 2010. Ini kerana subsidi yang dibiayai cukai yang lebih tinggi hanya disediakan untuk pengguna RON 95, iaitu untuk pengguna kenderaan berpendaftaran Malaysia sahaja. Manakala untuk kenderaan asing, hanya dibenarkan untuk membeli petrol RON 97 atau RON 100 sahaja.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.