Program langganan kenderaan oleh jenama pengeluar bukan perkara baru di sini, bahkah untuk Perodua. Melangkah ke hadapan, syarikat itu bakal menawarkan program seumpamanya untuk pasaran tempatan, dan kini dalam fasa kajian pasaran jangka panjang melalui program langganan 300 unit Ativa Hybrid yang sedang berjalan.
Melalui usaha berkenaan, Perodua ingin memahami tahap penerimaan pengguna terhadap servis langganan kenderaan selama lima-tahun itu, yang telah pun ditawarkan untuk pelanggan korporat di bawah program EZ MOBi, yang diperkenalkan pada Januari 2021.
Susulan daripada itu juga, Perodua menggariskan bawaha pelaksanaan program langganan dan pajakan kenderaan sebagai satu daripada usaha utama bagi tahun 2023 ini di bawah bahagian jualan dan pemasarannya.
Pengumuman tentang ini akan dilakukan sejurus sebelum pelaksanaan penuh skim langganan berkenaan. Tetapi menurut Perodua, sebelum itu, syarikat akan menyelesaikan terlebih dahulu ambilan maklum balas daripada 300 pelanggan Ativa Hyrbid yang terlibat itu.
Pusingan pertama ambilan maklum balas daripada pelanggan itu sudah pun dilakukan dengan jayanya, tanpa melibatkan sebarang rungutan, dan bayaran RM500 sebulan yang dikenakan itu lebih daripada berbaloi.
Satu lagi pusingan untuk ambilan maklum balas daripada pelanggan akan diadakan, kemungkinan dalam pertengahan tahun ini. Berdasarkan semua maklumat itu nanti, Perodua akan umumkan sama ada syarikat akan menjalankan program langganan kenderaan mereka sendiri atau dalam bentuk yang bagaimana ia patut dilaksanakan.
Perincian tentang itu juga akan ditentukan kemudian sebelum pengumuman. Pastinya, sebagai sebahagian daripada cabang perniagaan baru Perodua, program berkenaan disasarkan dilancar dalam tahun ini.
Selain itu, Perodua juga sedang membangunkan sistem berkaitan dan cuba memastikan sebaik dilancarkan program ini nanti, ia akan berjalan lancar dari segenap sudut operasi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.