Dengan insentif Penjana yang mengecualikan cukai jualan dan servis untuk pembelian kereta baharu diberikan kerajaan tahun lalu bagi merancakkan sektor automotif yang terjejas akibat pandemik Covid-19, rakyat Malaysia benar-benar mengambil kesempatan dan menyebabkan banyak jenama menerima tempahan yang melebihi kapasiti pengeluaran.
Walaupun insentif berkenaan pada awalnya akan ditamatkan pada 30 Jun tahun lalu, kerajaan memberi kelonggaran untuk terus memberikan pengecualian cukai tersebut untuk kenderaan yang didaftarkan sehingga 31 Mac tahun ini, dengan syarat tempahan yang dibuat adalah pada sebelum 30 Jun 2022. Kelonggaran ini dibuat adalah untuk memberikan peluang semua jenama automotif menyelesaikan tempahan tertunggak mereka yang diterima dalam tempoh pemberian insentif tersebut.
Yang paling banyak menerima tempahan sudah tentulah jenama automotif paling laris dalam Malaysia iaitu Perodua. Dalam majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mendedahkan bahawa syarikatnya kini masih mempunyai sebanyak 220,000 unit tempahan yang perlu disiapkan!
“Buat masa sekarang, jumlah tempahan yang tertunggak adalah sekitar 220,000 unit. Ia adalah masalah yang bagus tetapi ia tetap masalah. Kami tak boleh tidur malam kerana 220,000 pelanggan menunggu kereta mereka,” kata bos besar Perodua berkenaan.
Bagi mengatasi masalah ini, Zainal mendedehkan beberapa langkah yang akan diambil oleh Perodua. “Pertama sekali, rancangan kami adalah untuk memastikan pada penghujung Mac, pelanggan yang menempah kerana program Penjana tanpa cukai jualan perlu dapat kereta mereka, kerana selepas 31 Mac cukai jualan akan dikenakan,” katanya.
“Walau bagaimanapun, berdasarkan penyelidikan dan perancangan semasa kami, kami sedar adalah sukar untuk pelanggan-pelanggan tersebut mendapatkan semua kereta mereka menjelang 31 Mac. Akan ada lebihan, tetapi seperti yang sudah saya katakan banyak kali untuk Perodua, kami akan menyerap (cukai jualan tersebut).
“Contohnya, jika pelanggan menempah (ketika pengecualian SST), jika kami perlu menyerap cukai jualan walaupun penghantaran dibuat selepas 31 Mac, kami akan lakukan. Kami akan pastikan. Saya merasakan pelanggan adalah sangat mustahak. Mereka menempah kereta kami ketika tiada cukai jualan, dan ia menjadi masalah kami kerana tidak boleh menyerahkan kereta pada Mac, oleh itu kami perlu menyerap (cukai jualan tersebut), jelas Zainal.
Untuk tahun 2023, Perodua telah menetapkan sasaran jualan sebanyak 330,000 unit. Namun dari jumlah berkenaan, keutamaan produksi di kilang adalah untuk tempahan tertunggak sebanyak 220,000 unit ini terlebih dahulu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.