Pembuat kereta dari Vietnam, VinFast sudahpun bertapak di Amerika Syarikat dan memperkenalkan lima model elektrik penuh (EV) ketika berlangsungnya Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas tahun lalu. Tempahan untuk model-model tertentu sudah diambil, dan dijangka ia bakal masuk ke pasaran negara tersebut pada tahun ini.
Namun belum sempat satu pun kereta diserahkan kepada pelanggan, VinFast dilaporkan mula mengurangkan tenaga kerjanya di Amerika Syarikat dalam penstrukturan semula yang dibuat baru-baru ini, lapor Carscoops dengan memetik laporan dari Reuters.
Sebelum ini Vinfast dilaporkan mengambil sejumlah 150 pekerja untuk divisinya di Amerika Syarikat. Penstrukturan semula yang dibuat berkenaan menyaksikan divisi VinFast AS akan dikecilkan bilangannya dan disatukan dengan divisi VinFast Kanada. Walau bagaimanapun, penstrukturan semula dan pengecilan operasi ini tidak melibatkan pekerja VinFast di ibu pejabatnya di Vietnam.
Sebanyak 999 unit pertama VinFast telah tiba di AS pada November lalu, dengan jadual asal ia akan diserahkan kepada pelanggan pada akhir tahun 2022. Namun penghantaran berkenaan terpaksa ditangguhkan ke Februari tahun ini kerana kesemua unit kenderaan tersebut perlu dibuat kemaskini perisian.
VinFast turut dilaporkan sedang menunggu kelulusan untuk membuka kilang EVnya di Carolina Utara, dan dijangka bakal memerlukan seramai 7,500 pekerja menjelang Julai 2024. Kilang bernilai USD4 bilion tersebut akan melibatkan operasi pembuat panel serta pemasangan dan mengecat badan yang bakal menghasilkan 150,000 EV setahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.