VinFast perkenal SUV elektrik VF5, VF6 dan VF7 di AS – lengkapkan 5 model, pilihan segmen-A hingga -E

VinFast perkenal SUV elektrik VF5, VF6 dan VF7 di AS – lengkapkan 5 model, pilihan segmen-A hingga -E

Jenama automotif dari Vietnam, VinFast hadir ke acara Consumer Electronics Show (CES) tahun ini yang berlangsung di Las Vegas dengan memperkenalkan tiga SUV elektrik sepenuhnya iaitu VF5, VF6 dan VF7. Dengan kehadiran tiga lagi model ini, VinFast kini mempunyai lima model EV untuk ditawarkan dalam pasaran termasuk VF8 dan VF9 yang telah diperkenalkan sebelum ini, melengkapkan pilihan dari segmen A bersaiz kompak, sehingga model bersaiz besar dalam segmen-E untuk pasaran AS kelak.

Agak mengelirukan sebenarnya barisan model EV yang ditawarkan oleh VinFast ini kerana model-model berkenaan sebelum ini telah pun ditukarkan namanya. Jadi untuk lebih jelas, kami sediakan garis masa untuk memudahkan anda melihat dengan jelas kesemua SUV elektrik yang ditawarkan oleh VinFast ini.

VinFast mula memperkenalkan model-model EV mereka buat pertama kali pada Januari tahun lalu dengan tiga model pertama iaitu VF31, VF32 dan VF33. Ketiga-tiga model berkenaan kemudiannya diberikan nama baharu iaitu VF e34, VF e35 dan VF e36.

Buat masa sekarang VF e34 hanya dijual di pasaran Vietnam, manakala VF e35 dan e36 akan dijual di pasaran lain termasuk Amerika Syarikat. Oleh itu, model VF e35 dan VF e36 tersebut telah pun di bawa ke acara CES 2022 ini, dan dilancarkan dengan nama VF8 dan VF9 dengan pra-tempahan untuk kedua-duanya sudah boleh dibuat dengan bayaran USD200 (RM840).

Dengan membuat tempahan berkenaan, pelanggan akan menerima e-baucer masing-masing bernilai USD3,000 (RM12,607) dan USD5,000 (RM21,012). Manakala untuk harga, SUV segmen-D VF8 akan dijual pada harga bermula USD41,000 (RM172,303) dan SUV segmen-E VF9 pula akan dijual pada harga bermula USD56,000 (RM235,340).

Pembelian kedua-dua model berkenaan diberikan perlindungan waranti selama 10 tahun tetapi dengan had perbatuan 200,000 km. Model dengan varian Eco dan Plus menerima sistem pemanduan autonomi Tahap 2+, manakala varian Premium diberikan sistem pemanduan autonomi Tahap 3 dan Tahap 4.

Kedua-dua SUV ini merupakan sebahagian strategi VinFast untuk mencapai pasaran lebih luas di peringkat global, dan turut disertai dengan tiga lagi model baharu yang diperkenalkan di CES 2022 ini, mengesahkan kemaskini pelabur pada Oktober lalu bahawa VinFast akan menambah model dalam barisan model EV mereka, dengan tiga lagi model bagi penawaran segmen-A sehingga segmen-C.

Model-model yang disebut tersebut adalah VF e32 (segmen-A), VF e33 (segmen-B) dan VF e34P (segment-C). Namun untuk pasaran Amerika Syarikat, ketiga-tiga model tersebut diberi nama baharu iaitu VF5, VF6 dan VF7. Walau bagaimanapun, buat masa sekarang VinFast hanya memberikan foto-foto bahagian luaran ketiga-tiga model tersebut tanpa gambar-gambar bahagian dalam dan juga sebarang spesifikasi teknikal.

Dari segi rekaan luaran, profil garis badan VF5 kelihatan seperti Hyundai Creta bersama perincian-perincian yang nampak sama seperti VF8 termasuk rekaan gril dan bonet hadapan serta lampu utama. Manakala bahagian belakang pula nampak sama seperti VF9 dengan perincian seperti bar lampu yang direka nipis.

VinFast VF6 juga tampil dengan rupa yang hampir sama, tetapi ia nampak lebih melengkung secara keseluruhan, dengan saiz yang lebih besar. Perincian-perician yang sama turut dibawa kepada model VF7, namun model ini dilihat sebagai model paling bergaya dengan bentuk badan seakan sebuah coupe, pembuka pintu yang tenggelam dan pelbagai lagi. Ketiga-tiga EV baharu ini dijangka bakal dijual bermula pada tahun 2023.

GALERI: VinFast VF5 (VF e32)

GALERI: VinFast VF6 (VF e33)

GALERI: VinFast VF7 (VF e34P)

GALERI: VinFast VF8 (VF e35)

GALERI: VinFast VF9 (VF e36)

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required