Ingat lagi jenama Vinfast dari Vietnam yang telah memperkenalkan model sedan dan SUV mewah mereka sebelum ini? Nah, hanya selepas tiga tahun dalam pasaran, sekarang VinFast telah pun mendedahkan pula model SUV yang dijana elektrik sepenuhnya!

Malah, bukan hanya satu model, tetapi tiga model untuk tiga segmen diperkenalkan serentak; Vinfast VF32 untuk segmen-B, Vinfast VF32 untuk segmen-D dan VF33 untuk segmen eksekutif. Satu lagi fakta yang agak menakjubkan, ketiga-tiga model ini dihasilkan dengan platform mereka sendiri berbanding model-model sebelum ini yang diasaskan dari platform BMW (sedan VinFast LUX A2.0 dan SUV LUX SA2.0) dan General Motors (VinFast Fadil).

Manakala untuk penampilan, ia masih meneruskan rekaan signatur sebelum ini dengan lampu nyalaan siang LED nipis diletakkan sebelah atas bersambung dengan gril bermotif ‘V’, bersama elemen yang serupa pada bahagian belakang.

Kita mulakan dari model yang paling kecil iaitu VF31. Crossover kompak ini dihasilkan dengan dimensi 4,300 mm panjang bersama jarak roda 2,611 mm. Di Vietnam, VinFast mendakwa bahawa VF31 ini adalah model segmen-C, namun hakikatnya dimensi pada model ini adalah lebih kurang sama dengan Honda HR-V.

Antara berberapa perincian yang telah disahkan pada VF31 ini termasuk skrin sesentuh potret untuk sistem infotainmen bersaiz 12.8-inci, sistem penyegar udara dengan penapis udara kabin karbon, serta pemanas pada roda stereng dan tempat duduk berliang untuk versi premium.

Untuk sistem janaan, versi premium berkenaan digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 150 kW (201 hp) dan tork maksima 320 Nm, manakala model standard pula menerima motor elektrik berkuasa 85 kW (114 hp) dan tork maksima 190 Nm. Bateri berkapasiti 42 kWj membolehkan SUV kecil ini bergerak sejauh 300 km dengan satu caj penuh, namun angka ini dianggarkan untuk varian standard.

VinFast mensasarkan untuk mencapai keputusan lima-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Euro NCAP bagi model premium, manakala untuk model standard pula hanya disasarkan untuk mencapai keputusan empat-bintang dalam ujian berkenaan.

Beralih ke VF32, model lebih besar ini dihasilkan dengan dimensi 4,780 mm panjang, atau lebih kurang sama dengan saiz Kia Sorento generasi sebelum ini, namun jarak rodanya pula adalah 2,950 mm; lebih jauh dari jarak roda Kia Sorento sedia ada sekaligus boleh mengandaikan SUV Vietnam ini mempunyai ruang kaki kabin belakang yang lebih baik.

VinFast menyebut bahawa SUV segmen-D elektrik sepenuhnya ini dilengkapi dengan skrin infotainmen gergasi bersaiz 15.4-inci, serta turut hadir dengan lampu suasana kabin LED dengan warna yang boleh dilaras.

VF32 turut akan ditawarkan dalam dua varian, di mana versi asas standard digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 201 hp/320 Nm sama seperti VinFast VF31. Manakala untuk VF32 premium pula akan menerima motor elektrik yang lebih bertenaga menghasilkan 300 kW (402 hp) dan tork maksima 640 Nm bersama sistem pacuan semua roda. Model ini juga akan menerima bateri 90 kWj, namun perinciannya masih belum diumumkan.

Bagi model paling besar VF33, SUV elektrik mewah ini dihasilkan dengan saiz 5,120 mm panjang dan jarak roda 3,150 mm; boleh bertanding terus dalam liga yang sama dengan BMW X7. Model ini ditawarkan dengan pilihan konfigurasi tiga-baris tempat duduk, bersama lampu hadapan LED dan bumbung panaromik pantulan-UV.

Model paling mewah ini digerakkan dengan sistem dua motor AWD seperti VF32, dengan suapan kuasa dari bateri 106 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 550 km dengan satu caj penuh. VinFast mensasarkan VF33 ini mencapai keputusan lima-bintang dalam ujian keselamatan pelanggaran Euro NCAP dan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA) Amerika Syarikat kerana model akan dijual di kedua-dua pasaran berkenaan.

Menurut VinFast, model VF31 akan diberikan sistem bantuan pemanduan seperti amaran keluar lorong, pemantau titik buta dan kamera 360-darjah. Manakala VF32 dan VF33 pula bakal dibekalkan dengan sistem pemanduan berautonomi tahap 2 dan tahap 3, dibekalkan dengan kawalan kelajuan dan kedudukan dalam lorong, amaran dan pengelak pelanggaran, bantuan parkir dan pemantau tumpuan pemandu.

Jenama Vietnam tersebut turut membuat dakwaan ketiga-tiga model ini mampu untuk mencapai pemanduan berautonomi tahap 4 dengan kelengkapan seperti penderia lidar, 14 kamera, serta 19 penderia lain yang membolehkan ia memberikan fungsi seperti peta persekitaran 3D, pengesan parkir automatik dan pergerakan, serta sistem yang membolehkan ia datang sendiri kepada tuannya seperti Tesla.

VinFast juga mengumumkan bahawa VF31 boleh ditempah mulai bulan Mei ini dan penghantarannya akan bermula pada November nanti. Manakala VF32 dan VF33, tempahannya akan dibuka pada September nanti dan pelanggan pertama akan menerimanya pada Februari 2022. Bagi pasaran Eropah, Amerika dan Kanada, tempahan akan dibuka pada November 2021, dan penghantarannya akan bermula pada Jun 2022.

GALERI: VinFast VF31

GALERI: VinFast VF32

GALERI: VinFast VF33