VinFast telah mendedahkan kereta elektrik pertama mereka yang merupakan sebuah SUV, iaitu VF e34. Ia adalah satu daripada tiga model EV yang akan dikeluarkan oleh pengeluar Vietnam ini, dan perinciannya juga sudah disiarkan.

VF e34 mempunyai ukuran panjang 4,300 mm, lebar 1,793 mm dan tinggi 1,613 mm, dengan jarak roda 2,611 mm dan jarak dari tanah 180 mm, sekaligus meletakkan ia dalam kategori SUV segmen B jika melihat kepada saiz fizikalnya, dan berat adalah 1,490 kg.

Motor elektrik tunggal pada EV ini mempunyai kemampuan 147hp dan 242 Nm tork untuk dihantar kepada roda hadapan, sementara bateri pula menggunakan unit lithium ion 42 kWh untuk menyediakan jarak gerak sehingga 300 km dengan sekali cas, dan jarak 180 km selepas dicas 15 minit.

Dalam risalah pemasaran EV ini di Vietnam, ia dikatakan datang dengan penapis HEPA PM2.5, serta sistem infotainmen yang mempunyai sambungan Wi-Fi, Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto. Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi ABS, Stability Control, EBD, Traction Control, Hill Start Assist, enam beg udara serta Isofix.

Menurut VinFast, semasa pelancaran, e34 dijual pada harga bermula VND690 juta (RM123,569) untuk versi asas tidak termasuk bateri, sementara untuk bateri, ia ditawarkan secara langganan iaitu VND1.45 juta (RM265) sebulan untuk jarak gerak 1,400 km dan lebih daripada itu, mereka mengenakan caj VND998 (RM0.18).

Untuk menggalakkan orang ramai mendapatkan SUV elektrik ini, VinGroup telah menyediakan dana “For A Green Future” yang menawarkan rebat VND30 juta (RM5,489) kepada pelanggan yang beralih daripada kenderaan petrol kepada VF e34 apabila mereka menjual kenderaan mereka.