Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengesahkan Terminal Titiwangsa di Jalan Perkeliling, Kuala Lumpur bakal dibangunkan sebagai hab pengangkutan awam yang menghubungkan lima mod
perkhidmatan.
Menurut beliau, terminal itu akan dibangun berpandukan model pembangunan berorientasikan transit (TOD) bakal menghubungkan perkhidmatan bas, KL Monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang dan Seri Petaling serta Transit Aliran Massa (MRT) Dua dan Tiga, laporan Berita Harian.
“Faktor keterhubungan dan keluasan kawasan adalah antara faktor utama pemilihan stesen Titiwangsa sebagai hab pengangkutan awam. Kedudukannya berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut mendorong idea berkenaan, selain hab pengangkutan awam itu akan dibangunkan secara berfasa yang mana ketika ini ia masih di peringkat perbincangan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pembangunan di tapak itu milik Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) antara lain bakal mengetengahkan elemen ketersambungan batuan pertama dan akhir yang tidak hanya bergantung kepada bas pengantara.
“Buat masa ini, kementerian sedang melihat pendekatan lain termasuk kerjasama dengan teksi dan syarikat e-hailing bagi menyelesaikan isu ketersambungan batuan pertama dan akhir.
“Antara cadangannya ialah projek rintis bagi memperkenalkan konsep ride sharing kepada syarikat e-hailing bagi memastikan perjalanan dari rumah ke stesen dapat dioptimumkan dengan kadar tambang lebih murah,” katanya ketikalawatan kerja ke MRT Laluan Putrajaya semalam.
Dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan penggunaan lebih banyak kenderaan mikromobiliti bagi menyelesaikan isu ketersambungan batuan pertama dan akhir dalam kalangan pengguna perkhidmatan awam.
Bagaimanapun beliau menjelaskan beberapa infrastruktur khusus perlu dibangunkan bagi memudahkan penggunaan kenderaan mikromobiliti bagi tujuan berkenaan.
“Kita juga perlu membenarkan dan menggalakkan penggunaan kenderaan mikromibiliti kerana ketetapan terdahulu melarang penggunaannya di atas jalan raya,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.