Ternyata populariti Perodua Axia kian meledak, apabila hari ini model versi 2023 yang dilancarkan tampil dengan rekaan lebih ‘ngam ho’ dan beberapa peningkatan yang menarik perhatian.
Sejak tempahannya dibuka pada 31 Januari lalu, Perodua memaklumkan bahawa sebanyak 6,500 tempahan telah diterima, Digabungkan dengan 13,600 unit dari tempahan pelanggan sedia ada (yang menempah Axia versi terdahulu tetapi belum menerimanya), menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 20,100 unit.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, “Dengan pelancaran Perodua Axia serba baharu, fokus kami (untuk model baharu ini) terbahagi kepada dua iaitu memaksimumkan penghantaran kepada para pelanggan kami dan menukar tempahan Axia generasi sebelumnya kepada Axia serba baharu.
“Sasaran 314,000 pendaftaran dan 330,000 pengeluaran kami secara keseluruhannya untuk tahun ini menggambarkan komitmen kami untuk memastikan tempahan anda dapat dihantar dalam masa yang terbaik tanpa menjejaskan kualiti,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, dijangkakan 2,900 pelanggan akan menerima kereta Axia baharu mereka dalam masa terdekat. Malahan pihaknya turut mensasarkan jualan sebanyak 5,700 unit sebulan bagi Axia serba baharu ini, menjadikan sasaran pengeluaran tahunan model itu melebihi 82,000 unit.
“Kami amat bersyukur dan terdorong dengan sokongan yang ditunjukkan oleh para pelanggan kami – untuk model baharu ini serta untuk semua produk dan perkhidmatan kami,” kata Dato’ Sri Zainal.
Perodua Axia 2023 ini dibarisi empat varian iaitu G, X, SE dan AV, dengan harga masing-masing bermula RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500.
Bagi sistem janaannya pula, Axia 2023 masih mengekalkan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan DVVT yang sama. Ura-ura enjin turbo yang bertiup sebelum ini tidak betul. Namun, gandingan transmisi enjin berkenaan telah diubah, tiada lagi kotak gear automatik empat-kelajuan yang lama, sebaliknya digantikan dengan transmisi D-CVT yang baru — unit sama digunakan pada Ativa, Alza dan juga Myvi semasa.
Perodua Axia AV 2023
Perodua Axia SE 2023
Perodua Axia X 2023 dengan GearUp
Perodua Axia G 2023
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.