Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendedahkan bahawa Touch ‘n Go (TnG) akan meningkatkan pengeluaran kad pada 2023 iaitu sebanyak 3.5 juta unit, meningkat lebih 30% berbanding 2.68 juta unit yang dikeluarkan pada tahun lepas. Ia susulan perbincangan antara kementerian terbabit dengan syarikat TnG untuk meningkatkan perkhidmatan susulan terdapat isu kad ini hasil respons orang ramai.
Menurut kementerian terbabit, penambahan pengeluaran bilangan kad pada tahun ini diharap mampu memenuhi permintaan yang tinggi, terutamanya melibatkan kad Enhanced Touch ‘n Go yang sering kehabisan stok. Untuk pengetahuan, kad dengan fungsi NFC ini membolehkan pengguna untuk menambah nilai menerusi telefon pintar yang dilengkapi ciri NFC dan aplikasi TnG eWallet, bermakna ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja secara dalam talian.
Selain itu, KPDN turut berkata isu kekeliruan notifikasi tamat tempoh pada kad terbabit juga diatasi dengan menghantar e-mel makluman pra-peringatan (sebulan sebelum luput) pada pengguna. Malah notifikasi juga akan dihantar menerusi aplikasi e-wallet. Dan pada setiap kad juga akan dicetak semakan tarikh.
Mengenai isu pemulangan dan bayaran balik baki kad, TnG juga diarah supaya mempercepatkan proses berkenaan setelah melakukan siasatan, dan pengesahan untuk meluluskan pembayaran balik itu.
Dalam masa yang sama, KPDN turut mengarahkan agar TnG menurunkan iklan jualan kad tidak berdaftar dengan menghantar notis rasmi kepada platform e-dagang yang terlibat. Notis rasmi juga harus dihantar kepada pengendali syarikat minyak, peruncitan dan pengedar sah supaya kad dijual pada harga yang ditetapkan dan kawalan penjualan secara satu kad untuk satu pelanggan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.