Setelah tiba di Malaysia dua tahun lalu, kini model generasi ketiga Isuzu D-Max diperkenalkan dalam versi kemaskini 2023 yang menampilkan pelbagai penyegaran perincian rupa dan mekanikal bagi semua varian yang dijual pada pasaran tempatan.
D-Max 2023 ini masih kekal ditawarkan dalam bentuk badan Single Cab dengan pilihan enjin turbo diesel 3.0L dan 1.9L (kedua-duanya diberikan sistem 4X4 dan hanya kotak gear manual) serta bentuk badan Double Cab bermula varian asas Standard 1.9L 4X4 AT dan MT, diikuti varian 1.9L 4X2 Auto Plus (hanya AT), varian pertengahan 1.9L 4X4 AT Premium dan 3.0L 4X4 AT Premium, dan varian paling tinggi 3.0L 4X4 AT X-Terrain.
Untuk bahagian luaran, model kemaskini 2023 ini menyaksikan kesemua varian menerima rekaan gril baharu. Model Premium dan X-Terrain, ia kini ditawarkan dengan warna baharu Islay Gray Mica, manakala rona putih Silky Pearl White untuk kedua-dua varian ini telah digantikan dengan Dolomite White yang lebih menyerlah.
Bagi varian Premium, Auto Plus dan Standard dengan kotak gear automatik, warna badan Sapphire Blue sebelum ini digantikan dengan warna Biarritz Blue Metallic. Selain itu, model X-Terrain dan Premium kini menerima penutup lampu kombibasi belakang yang baharu.
Khas untuk varian X-Terrain, ia menerima rel bumbung, cermin sisi, pembukan pintu dan tailgate, panel pada bampar hadapan, pemijak sisi dan overfender dalam kemasan kelabu gelap, bersama kemasan skid plate bawah bampar hadapan berwarna perak.
Rekaan rim aloi 18-inci untuk varian X-Terrain dan Premium serta rim aloi 17-inci pada varian Auto Plus dan Standard juga telah dikemaskini dengan rekaan baharu.
Perincian lain masih lagi kekal dengan lampu halogen bersama fungsi Follow Me Home dan lampu nyalaan siang jenis mentol diberikan pada semua varian Single Cab dan Standard MT, manakala lampu Bi-LED diberikan pada model Standard AT dan Auto Plus. Lampu nyalaan siang LED pula diberikan bermula pada varian Auto Plus dan ke atas. Model Premium dan X-Terrain diberikan lampu hadapan projektor Bi-LED Automatik.
Pada sebelah dalam, X-Terrain dan Premium kini menerima upholsteri kulit serba hitam. Bagi model X-Terrain, warna gelap berkenaan turut diserlahkan panel kemasan Cafe Brown dan Satin Silver pada papan pemuka dan pintu, serta serlahan-serlahan jahitan benang perang termasuk pada roda stereng serta sarung tuil gear dan brek tangan. Bagi varian Auto Plus dan Standard pula, ia diberikan upholsteri fabrik berwarna hitam.
Kini pengecas pantas tanpa wayar 15W diberikan pada varian X-Terrain, Premium dan Auto Plus.Manakala port USB Type C 2.1A pula diberikan pada varian X-Terrain dan Premium. Istimewa pada X-Terrain, ia juga kini menerima perakam video digital hadapan dan belakang secara standard, bersama lampu suasana kabin.
Untuk sistem hiburan, model Single Cab hanya diberikan pemain audio 1-DIN dengan hubungan Bluetooth dan USB bersama dua pembesar suara. Varian Standard pula diberikan pemain CD 2-DIN dengan enam pembesar suara. Manakala varian Auto Plus menerima skrin infotainmen tujuh-inci dengan hubungan MirrorLink, Miracast, Apple CarPlay, Android Auto serta enam pembesar suara.
Bagi varian Premium, ia diberikan skrin tujuh-inci yang sama, tetapi menerima sejumlah lapan pembesar suara. Dan akhir sekali untuk varian tertinggi X-Terrain, ia menerima skrin lebih besar bersaiz sembilan-inci juga dengan lapan pembesar suara.
Untuk penghawa dingin pula, model Single Cab, Standard dan Auto Plus diberikan sistem jenis manual, disertakan dengan liang kabin belakang untuk model empat pintu. Manakala varian Premium dan X-Terrain pula diberikan penghawa dingin automatik dua-zon.
Varian Premium dan X-Terrain turut diberikan paparan pelbagai informasi dengan skrin TFT LCD berwarna 4.2-inci, dan hanya varian X-Terrain diberikan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala.
Semua model dengan enjin 1.9L dijana oleh unit RZ4E-TC turbodiesel common-rail empat-silinder berkuasa 150 PS dan tork maksima 350 Nm. Manakala model dengan enjin 3.0L pula masih menerima unit 4JJ3 turbodiesel empat-silinder berkuasa 190 PS dan tork maksima 450 Nm.
Tiada perubahan untuk kotak gear enam-kelajuan manual dan automatik, dan ia masih dipadankan dengan sistem pacuan empat roda yang boleh dipilih antara mod 2H, 4H dan 4L hanya dengan memutarkan suis pilihan. Apa yang baharu, kini semua varian telah pun diberikan unit diff-lock pada gandar belakang bagi memberikan keupayaan off-road yang lebih baik.
Secara standard, semua varian D-Max 2023 diberikan sistem keselamatan seperti brek ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, Traction Control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun, isyarat berhenti kecemasan dan pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk.
Semua varian juga diberikan dua beg-udara, kecuali varian X-Terrain yang hadir dengan enam beg-udara. Varian Premium pula menerima penambahan sistem pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang.
Varian X-Terrain diberikan lebih banyak sistem bantuan pemanduan termasuk amaran perlanggaran depan, brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi Stop/Go, lampu tinggi automatik, amaran menukar lorong, penghindaran salah operasi pedal, bantuan selekoh dan kamera 360 darjah.
Dengan semua pembaharuan ini, Isuzu D-Max 2023 dijual pada harga bermula RM94,949.20 untuk model Single Cab 1.9L 4X4 MT, diikuti RM101,888.40 untuk model Single Cab 3.0L 4X4 MT. Model Double Cab pula bermula RM104,099.20 bagi model 1.9L 4X4 MT Standard, RM111,499.20 untuk model 3.0L 4X4 AT Standard. Satu-satunya model pacuan dua roda iaitu 1.9L 4X2 Auto Plus dijual pada harga RM105,499.20.
Bagi model 1.9L 4X4 Premium AT dijual pada harga RM129,149.20, dan varian 3.0L 4X4 AT pula berharga RM135,638. Akhir sekali varian tertinggi 3.0L 4X4 At X-Terrain dijual pada harga RM150,938.40. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, untuk semenanjung Malaysia.
Bagi varian X-Terrain, ia masih menawarkan waranti selama tujuh tahun tanpa had perbatuan, manakala varian lain kekal dengan waranti selama lima tahun atau 150,000 km.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.