Rangkaian pengecas DC 180 kW TNB Electron dilancar – unit di R&R Ayer Keroh, Tapah, Paka kini beroperasi

Rangkaian pengecas DC 180 kW TNB Electron dilancar – unit di R&R Ayer Keroh, Tapah, Paka kini beroperasi

Tenaga Nasional (TNB), dengan kerjasama PLUS Malaysia, dan sokongan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah mengumumkan bahawa stesen pengecas DC TNB Electron di lebuh raya PLUS kini sudah beroperasi sepenuhnya. Rangkaian pengecas ini dilancarkan secara rasmi oleh menteri kerja raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini di salah satu lokasinya, iaitu hentian R&R Ayer Keroh arah utara.

Pada masa ini, pengecas TNB Electron boleh didapati di tiga R&R iaitu Ayer Keroh (arah utara) dan Tapah (arah utara) di dalam Lebuh Raya Utara Selatan, serta Paka (arah utara) di dalam Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Enam lagi stesen pengecas TNB Electron sedang dibangunkan dan dijangka siap tahun ini, dan ia terletak di R&R Machap (arah selatan), Rawang (arah utara), Gunung Semanggol (arah selatan), Gurun (arah utara dan selatan) serta Paka (arah selatan).

Seperti yang ditunjukkan di stesen Ayer Keroh, setiap pengecas TNB Electron terdiri daripada unit pengecas 180 kW dual CCS2 (Exicom) dengan dua kabel, masing-masing menawarkan kuasa 90 kW. Penggunaan pengecas ini adalah percuma sehingga 28 Februari (tempoh percubaan), sementara struktur bayarannya akan diumum pada 1 Mac.

Sumber yang kami temui mendedahkan bahawa sebagai permulaan, bayaran mengecas akan ditetapkan mengikut masa, dan dijangka berharga antara RM2.80 ke RM3.20, sementara kemudian nanti, ia akan ditukar kepada berasaskan kWh.

TNB juga memberitahu bahawa rangkaian pengecas ini adalah antara komitmen syarikat ke arah pengurangan emisi dan penyelesaian tenaga mapan. “Penggunaan elektrik bagi semua rangkaian pengecas TNB Electron ini dijangka berada pada 99,000 kWh sepanjang 2023. Ini akan dapat menghindari sebanyak 7.2 tan metrik emisi karbon dioksida pada masa sama,” kata presiden dan CEO TNB, Datuk Baharin Din.

“Sehingga Januari tahun ini, sebanyak 20 pengecas pantas telah beroperasi di sepanjang lebuh raya PLUS. PLUS juga sentiasa bersedia untuk menambah pengecas ini di R&R lain. Kami yakin pengenalan pengecas TNB Electron ini akan dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pemilik EV di lebuh raya PLUS,” kata ahli lembaga pengarah PLUS dan pengarah urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani.

Untuk menggunakan pengecas TNB Electron ini, anda perlu memuat turun aplikasi Go To-U melalui Apple App Store dan Google Play Store.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required