Bajet 2023: Hal-hal berkaitan automotif, pengangkutan

Bajet 2023: Hal-hal berkaitan automotif, pengangkutan

Bajet 2023 yang dikemaskini dibentangkan petang ini oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen. Kami akan memberi perhatian kepada hal-hal berkaitan automotif dan pengangkutan yang terangkum di dalamnya.

Pembentangan Bajet 2023 tahun lalu oleh pentadbiran sebelumnya pada Oktober 2022 turut menyentuh perkara seperti kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU), yang akan dikecualikan daripada duti import dan duti eksais hingga 31 Disember 2024, yang merupakan lanjutan setahun daripada tempoh asal yang diumumkan berakhir 31 Disember 2023.

Mungkin akan ada insentif EV yang akan diumumkan, susulan beberapa pengumuman yang dilakukan dalam tempoh terdekat sebelum ini. Sebagai contoh, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan berhasrat untuk menawarkan insentif EV tambahan, dan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga pernah memaklumkan bahawa insentif yang cadangkan itu sudah pun diserahkan kepada Kementerian Kewangan.

Turut dijangka akan diumumkan ialah bajet berkaitan subsidi bersasar, yang menurut PM10 ingin beliau tangani dalam masa secepat mungkin. Dan, seperti biasa, selain hal automotif, kami juga akan memberi perhatian kepada perkara berkaitan pengangkutan awam dan prasarana. Kemaskini semuanya akan disertakan di sini.

Senarai perkara terbabit adalah seperti berikut:

Tanggung kos ujian pengambilan lesen
Kerajaan akan menanggung kos ujian bagi penunggang motosikal kelas B2 (250 cc ke bawah). Kerajaan juga akan menyerap kos sama bagi teksi, bas dan lesen PSV e-hailing.

Tarif elektrik
Tarik elektrik masih dikekalkan bagi semua pengguna domestik dan perniagaan SME. Sebaliknya, bagi syarikat besar (kecuali dalam sektor makanan dan pertanian) telah dinaikkan. Ini bermakna, tiada kenaikan kos sekiranya pengguna mengecas EV di rumah.

Naik taraf lapangan terbang
Kerajaan mempunyai perancangan untuk mempertingkat dan menambahbaik kapasiti di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan lapangan terbang Subang.

Naik taraf jalan

  • Kerajaan menyediakan 2.7 bilion ringgit untuk menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan.
  • Sejumlah 1.5 bilion ringgit juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baru jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar.
  • Bagi isu jalan-jalan berlubang, khidmat Jurutera Daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan persekutuan serta pembaikan segera lain berdasarkan aduan rakyat yang diterima. Kerajaan menyediakan 100 ribu ringgit untuk setiap daerah.
  • Sejumlah 50 juta ringgit disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi.
  • Kerjaan akan membina jalan baru dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang dengan kos sebanyak 480 juta ringgit.
  • Menaiktaraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Daerah Melaka Tengah dengan kos sebanyak 300 juta ringgit.
  • Membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek 160 juta ringgit.
  • Menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway. Kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan di dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos 525 juta ringgit secara berfasa.

Sabah dan Sarawak

Kerajaan komited meneruskan dan menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhan 20 bilion ringgit dengan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer.

Pengangkutan

Di bawah Prasarana, Kerajaan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 untuk manfaat hampir 180 ribu pengguna.

Prasarana juga secara rintis akan memperkenalkan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 untuk manfaat rakyat Johor Bharu yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program SBST.

Kerajaan juga menyediakan 150 juta ringgit antaranya bagi memperluas pelaksanaan Program SBST ke bandar Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu.

MRT3

Bagi Projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3), pada asalnya tahun 2018 projek ini dianggarkan melibatkan kos 68 bilion ringgit. Tahun lalu, proses perolehan projek dimulakan dan kos projek dianggarkan 50 bilion ringgit. Kerajaan kini akan mengkaji semula perincian projek untuk memastikan nilai terbaik dan yakin akan dapat mencapai penjimatan tambahan sekurang-kurangnya di bawah RM45 bilion. Usaha ini selaras dengan pembaharuan tatakelola untuk mengurangkan kos perolehan demi mencapai penjimatan yang dapat diagihkan semula untuk manfaat rakyat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required