Selepas memulakan operasi bagi Fasa Satu dengan 12 stesen sejak Jun 2022, kini pembukaan laluan penuh bagi MRT Laluan Putrajaya akhirnya akan bermula jam 3 petang pada 16 Mac 2023.
Jajaran penuh MRT Laluan Putrajaya ini adalah sepanjang 57.7 km iaitu dari stesen Kwasa Damandara hingga ke stesen Putrajaya Sentral, dengan memiliki 36 stesen di antaranya. Terdapat lima lagi stesen yang sedang direncanakan pada akan datang iaitu melibatkan RRI, Bandar Malaysia Utara, Bandar Malaysia Selatan, Taman Teknologi dan Taman Universiti. Daripada jumlah keseluruhan 57.7 km itu, 44.2 km adalah laluan bertingkat dan 13.5 km adalah laluan bawah tanah.
Terdapat juga beberapa stesen pertukaran di sepanjang laluan tersebut. Sebagai contoh, anda boleh bertukar dengan MRT Laluan Kajang di Kwasa Damansara dan stesen TRX. Selain itu, stesen pertukaran lain pula melibatkan stesen Sungai Buloh dan Sri Damansara Timur dengan KTM Komuter. Dari Putrajaya Sentral, anda juga boleh menggunakan perkhidmatan ERL (KLIA Express) untuk ke KLIA/KLIA2.
Setiap set tren bagi MRT Laluan Putrajaya dilengkapi dengan empat gerabak, dan kekerapan bagi setiap tren adalah lebih kurang 4 minit ketika waktu puncak dan 6 minit untuk luar waktu puncak.
Di bawah ini adalah peta transit berintegrasi bagi perkhidmatan tren di Lembah Klang sebagai rujukan anda.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.