Selepas didedahkan untuk pasaran Amerika Syarikat, motosikal sport berenjin 399 cc empat silinder terbaru dari Kawasaki iaitu ZX-4R nampaknya akan tiba juga di ASEAN. Thailand mungkin menjadi yang pertama apabila satu teaser untuk Bangkok International Motor Show 2023 seakan menampakkan bayang motosikal ini bersama dua lagi model baru.
Tidak seperti Malaysia yang mempunyai kekosongan di antara model 250 cc dan 650 cc, Kawasaki di Thailand memang ada memasarkan model 400 termasuk untuk Ninja dan juga Z. Jadi, ketibaan ZX-4R memang boleh dijangka dan media dari Thailand juga melaporkan perkara yang sama.
ZX-4R menarik kerana ia dilengkapi dengan enjin empat silinder 399 cc OHC serba baru yang mampu menghasilkan sehingga 77 PS dalam keadaan biasa. Enjin ini juga boleh dikerah sehingga 15,000 rpm, dan apabila salur udara Ram-air padanya cukup padat, ia dapat memberikan kuasa maksimum sehingga 80 PS.
Transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper dipadankan bersama enjin ini, dan menjadikan ia lebih mudah bagi pengguna, versi SE dan RR datang terus dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.
Walaupun cuma merupakan motosikal kelas pertengahan, ZX-4R datang dengan spesifikasi tinggi, termasuk bahagian elektronik yang menyediakan empat mod tunggangan, dua mod kuasa, tiga mod sistem kawalan cengkaman KTRC, serta meter TFT 4.3 inci dengan mod paparan Circuit.
Motosikal yang berada di bahagian paling kanan agak jelas adalah Versys, dengan mungkin adalah versi 650 yang baru, sementara model yang berada di tengah menimbulkan tanda tanya, sama ada Z650RS ataupun Eliminator 250/400 baru.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.