Selepas ditangguhkan beberapa kali, akhirnya Lembah Klang (KV) telah pun memiliki laluan MRT yang kedua. MRT Laluan Putrajaya dilancarkan secara rasminya sebentar tadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di depoh MRT Serdang, dan tren akan mula dibuka untuk kegunaan umum jam 3 petang ini.
Semalam wakil kami, Danny Tan telah diundang untuk menyertai sesi taklimat khas untuk media, di mana kami telah diberikan penerangan lebih lanjut mengenai laluan baharu ini, malahan berpeluang untuk menaikinya.
MRT Laluan Putrajaya memiliki jajaran sepanjang 57.7 km dengan 36 stesen. Ia bermula dari Kwasa Damansara (bandar baharu bersebelahan dengan Kota Damansara dan Sungai Buloh), di mana ia telah mula beroperasi sejak Disember 2016 sebagai sebahagian daripada MRT Laluan Kajang, dan berakhir di Putrajaya Sentral, pusat pentadbiran kerajaan Malaysia.
Hari ini, pelancaran melibatkan jajaran sepenuhnya dengan pembukaan seksyen Fasa 2 sepanjang 38.7 km. Fasa 1 adalah dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah pun beroperasi sejak Jun 2022, tetapi ia terhad untuk kawasan sekitar Kepong/Jinjang dan Bandar Sri Famansara yang tidak boleh teruskan perjalanan ke pusat bandar KL dengan laluan berkenaan.
Dengan jajaran sepanjang 57.7 km ini, 44.2 km adalah melibatkan laluan beraras tinggi, dengan 13.5 km pula jajaran bawah tanah. Sebanyak sembilan stesen berada di bawah tanah, dan ia adalah dari Sentul Barat (sepanjang Jalan Ipoh) ke Chan Sow Lin. Dua stesen inidi antaranya melibatkan laluan Titiwangsa (hab rel/bas besar, Rapid KL menyatakan ia adalah KL Sentral Kedua), Hospital Kuala Lumpur, Raja Uda (antara Jalan Tun Razak-Kg Baru), Ampang Park, Persiaran KLCC, Conlay dan Tun Razak Exchange (TRX).
Laluan MRT baharu ini turut menghubungkan banyak rangkaian rel Lembah Klang. Sebanyak 10 stesen pertukaran/sambungan di antara laluan Putrajaya ini dengan setiap satunya melibatkan laluan tren sedia ada di Lembah Klang, dari Monorel hingga ke ERL.
Sebagai permulaan, MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang bertemu di Kwasa Damansara dan TRX di ibu kota. Ini bermakna, mereka yang berada di bahagian selatan boleh ke PJ/Damansara dengan menaiki MRT – sebagai contoh, jurufoto kami, Patrick, yang tinggal berhamporan dengan stesen Taman Equine, boleh menaiki MRT Laluan Putrajaya ke TRX dan dari situ bertukar ke Laluan Kajang. Dari situ, tidak mengambil masa yang lama untuk ke 1 Utama, salah satu lokasi popular untuk ke acara siri jelajah dan pelancaran kereta. Lebih menjimatkan masa dan kos.
Manakala, Danny yang tinggal berhampiran dengan Pusat Bandar Damansara (Laluan Kajang) boleh menggunakan Laluan Putrajaya di TRX dan menuju ke Putrajaya bagi menghadiri acara larian di sana. katanya, dia ingin mencubanya suatu hari nanti. Jadi tidak perlulah dia memandu dalam kepenatan selepas menghabiskan acara lariannya pada awal pagi. Itu hanya sekadar contoh untuk memberikan gambaran yang lebih jelas berkaitan sambungan laluan sedia ada.
Lain-lain stesen pertukaran adalah di Titiwangsa (KL Monorail, LRT Ampang/Sri Petaling), Chan Sow Lin (LRT Ampang/Sri Petaling) dan Sungai Besi (LRT Sri Petaling). Ampang Park (LRT Kelana Jaya Line) pula merupakan stesen sambungan dan bukan stesen pertukaran. Perbezaan ini ialah anda boleh menukar laluan di stesen sambungan, tetapi perlu ‘tap’/sentuh keluar dan masuk sekali lagi. Tetapi anda tidak perlu untuk ‘tap’ keluar sekiranya anda menukar tren di stesen pertukaran.
Satu lagi stesen sambungan yang berada dalam laluan tetapi tidak dikendalikan oleh Rapid KL, melibatkan perkhidmatan KTM Komuter. Ia melibatkan stesen KTM Sungai Buloh dan Sri Damansara Timur dalam jajaran yang sama (KTM Komuter Laluan Tg Malim-Port Klang), Kampung Batu (KTM Komuter Laluan Batu Caves – Pulau Sebang) dan Putrajaya Sentral (KLIA Transit).
Sebelum kami berkongsi pengalaman menaiki tren dan berada di stesen berkaitan, kita bercerita pula pasal bas perantara dan Park & Ride, bagaimana hendak ke stesen MRT juga adalah penting bagi penumpang. Menurut Rapid KL, terdapat 31 laluan bas perantara yang meliputi 350 km. kadar tambangnya dari RM1 hingga RM2.40 (tanpa tunai sahaja) dan pemegang kad konsesi menerima diskaun 50%. Anda boleh mencubanya sekiranya bas berkenaan melalui kawasan kediaman anda.
Jika bas perantara tidak melalui kawasan kediaman anda, apa yang boleh anda lakukan hanya pandu sahaja ke stesen. Untuk MRT Laluan Putrajaya terdapat 17 stesen ditampilkan dengan fasiliti Park & Ride, dengan sejumlah 6,416 petak parkir. Dan jumlah parkir juga bakal bertambah, termasuk bangunan parkir bertingkat di stesen Putrajaya Sentral yang sedang dalam pembinaan.
Kadar parkir pula ialah RM4.30 untuk setiap entri sehari (maksimum RM16.10 jika anda meletakkan kenderaan anda sepanjang malam), tetapi untuk menikmati kadar yang lebih berbaloi, gunakan saja kad Touch ‘n Go yang sama yang anda guna untuk ‘tap’/sentuh masuk dan keluar tren MRT. Jika anda dikesan sebagai bukan penggunaan MRT, anda perlu membayar parkir pada kadar RM3.30 untuk sejam pertama dan RM1.10 untuk setiap jam yang berikutnya. Jika anda sentuh masuk dan keluar di stesen yang sama tanpa menggunakan tren, anda perlu membayar mengikut kadar perjam yang ditentukan.
Hendak makan atau membeli barangan di kawasan sekitar sebelum mengambil kenderaan anda? Anda mempunyai sekitar masa dua jam untuk pandu keluar dari tempat parkir selepas ‘tap’ keluar dari stesen. Untuk motosikal pula, kadar parkir yang dikenakan adalah RM1.10 sehari.
Dalam sesi taklimat bersama pihak media semalam di stesen Putrajaya Sentral, di mana ia bersambung dengan perkhidmatan ERL menerusi stesen KLIA Transit – tidak perlu berjalan jauh, semuanya di bawah satu bumbung. Mesin tiket pula telah dipertingkatkan berbanding yang ada di MRT Laluan Kajang. Ia memiliki skrin yang lebih besar, tiga bahasa (BM, Mandarin dan Tamil), dan paling menarik, ia menerima pembayaran menggunakan kad debit/kredit! Ya, anda boleh membuat pembayaran untuk membeli tiket dengan menggunakan kad debit/kredit, atau pun tambah nilai kad TnG anda menggunakan mesin tersebut.
Anda juga boleh melihat logo Visa dan Mastercard di kaunter perkhidmatan pelanggan. Di stesen ini juga bersifat mesra OKU termasuk menyediakan tandas khas OKU, permukaan laluan yang bersesuaian untuk golongan cacat penglihatan dan permukaan peralihan bercahaya dari tren ke platform untuk yang menggunakan kerusi roda.
Selain peta laluan dan keseluruhan peta rangkaian rel, stesen ini juga mempunyai peta lokasi untuk menunjukkan kawasan sekitar stesen. Kami menaiki tren ke Chan Sow Lin (termasuk melalui trek bawah tanah berhampiran Taman Desa), dan stesen bawah tanah memiliki papan tanda yang akan membantu anda untuk keluar ke laluan yang betul, dengan gambar kecil bangunan atau mercu tanda pada peta berkenaan.
Chan Sow Lin merupakan stesen pertukaran dengan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, di mana ia turut menampilkan jejantas pejalan kaki yang menghubungkan kedua-dua stesen MRT-LRT.
Berkenana dengan tren pula, MRT Laluan Putrajaya memiliki 49 unit tren elektrik dan setiap satunya mempunyai empat gerabak dengan kapasiti 1,200 penumpang. Ia merupakan tren dengan sistem tanpa pemandu automatik sepenuhnya, tetapi ia juga boleh dipandu secara manual sekiranya diperlukan.
Sewaktu sesi taklimat ini, kami turut diberikan peluang untuk melihat ruang kawalan di dalam tren. Malah, kami juga ditunjukkan ‘panel rahsia’ di tepi tren yang tersembunyi ruang penyimpanan kerusi roda untuk kegunaan kecemasan. Selain itu, terdapat juga CCTV di dalam tren untuk tujuan pengawasan dan keselamatan.
Jika melihat wajah tren MRT Laluan Putrajaya ini, bahagian hadapannya seperti ‘muncung itik’.
Ia kelihatan berbeza dengan tren MRT Laluan Kajang yang lebih futuristik dan dengan imej yang lebih ‘kayangan’.
Bila berada di dalam tren, memang ralit memerhatikan segenap sudut (bagi yang tidak leka menghadap telefon pintar). Kami dapati tren MRT Laluan Kajang memiliki tingkap yang lebih besar berbanding tren Laluan Putrajaya. Jadi pandangan ke luar sedikit terhad, terhalang oleh bingkai tingkap tersebut.
Untuk kebanyakan pekerja di sekitar pusat bandar, MRT Laluan Putrajaya dilihat sebagai ‘game changer’ untuk menjimatkan lebih banyak masa dan duit (RM50 sebulan untuk pengguna pas perjalanan My50 bagi rangkaian pengangkutan di bawah kendalian Rapid KL), dan stesen Hospital Kuala Lumpur pula dilihat banyak memberikan manfaat buat warga emas dan sesiapa sahaja yang mendapatkan rawatan di sana termasuk juga Hospital KPJ Tawakal yang berhampiran. Stesen HKL ini juga dilengkapi dengan laluan pejalan kaki automatik seperti di lapangan terbang.
Waktu operasi MRT Laluan Putrajaya adalah dari jam 6 pagi hingga ke tengahmalam. Kekerapan tren ketika waktu puncak hari biasa adalah setiap empat hingga enam minit, sementara untuk waktu bukan puncak pula antara tujuh hingga 10 minit. Untuk waktu hujung minggu dan cuti umum pula, kekerapan tren adalah setiap tujuh hingga 15 minit.
Berkenaan dengan waktu perjalanan, Rapid Kl berkata, perjalanan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentrak mengambil masa selama 84 minit.
Dalam pelancarannya sebentar tadi, Perdana Menteri turut mengumumkan kadar tambang percuma diberikan untuk semua pengguna MRT Laluan Putrajaya sehingga 31 Mac 2023. Jadi, inilah masa yang paling sesuai untuk anda mencuba menggunakan perkhidmatan tren ini. Boleh bawak anak-anak menaikinya sementara cuti sekolah masih berlangsung.
Sebelum itu, anda boleh melihat galeri foto di bawah yang memaparkan stesen, fasiliti, tren dan pemandangan di sepanjang perjalanan yang sempat kami rakamkan semalam. Bolehlah meningkatkan keterujaan anda untuk mencuba perkhidmatan tren baharu ini. Jom naik MRT!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.