Kerajaan mengesahkan sebanyak RM3.46 bilion diperuntukkan untuk implementasi sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Free Flow (MLFF), yang dirancang akan diperkenalkan pada 2025.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kajian berkaitan akan dibuat pada tahun hadapan dan mungkin mengambil masa antara setahun setengah hingga dua tahun untuk diselesaikan, menurut beberapa laporan berita. Beliau berkata, perkara ini telah pun dikemukakan kepada pihak konsesi untuk memastikan kajian berkenaan berjalan lancar.
“Kerajaan sedang berusaha untuk memastikan sistem MLFF boleh diimplementasi, bermula dengan kajian pada 2024 sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 2025 bagi mengelakkan penggunaan palang tol,”katanya ketika menggulung perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya, di Dewan Rakyat semalam.
Abdul Rahman menjelaskan bahawa MLFF yang memerlukan perbelanjaan besar ini harus melalui kajian terlebih dahulu kerana ia membabitkan penggantian infrastruktur berikutan sistem itu tidak lagi menggunakan tiang di bahagian tengah lorong.
“Kita nak buat mesti ada kajian sebab kita akan ganti segala yang ada pada hari ini kepada yang baharu, MLFF tidak ada lagi tiang di tengah, sebaliknya hanya tiang antara jalan ke jalan.
“Lorongnya juga akan bertambah berbanding tiga hingga enam lorong kini, namun saya tidak boleh menyatakannya berapa kerana ia sedang dalam rangka pelukisan oleh pihak yang mendapat konsesi ini,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.
Mengenai soalan yang dikemukakan oleh Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) sama ada pelaksanaan MLFF boleh menyebabkan kenaikan harga tol, Abdul Rahman bagaimanapun berkata, perkara itu tidak akan berlaku.
“Tetapi untuk jangka hayat perjanjian konsesi bagi MLFF ini, saya maklumkan kemudian kerana saya tidak mahu tersilap jawab, sebenarnya tak ada cadangan berapa jangka panjang tempoh konsesi MLFF ini,” katanya.
Selain itu, katanya, dengan adanya sistem tol MLFF ini, ia membolehkan pengguna membuat bayaran tol daripada pelbagai pilihan sumber kewangan seperti kad kredit berbanding hanya Touch ‘n Go dan dompet elektronik, Touch ‘n Go eWallet.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.